Hutang sewa tanah wakaf cecah RM1 juta
ALOR SETAR - Lebih RM1 juta hutang tertunggak masih tidak dibayar penyewa yang menyewa tanah wakaf am kepada Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (MAIK), malah ada yang gagal melunaskannya sejak tahun 1970-an.
Setiausaha MAIK, Datuk Abd Rahman Ismail berkata, pihaknya percaya kegagalan membayar hutang tersebut disebabkan penghutang masih belum jelas dengan hukum kewajiban membayarnya.
Menurutnya, majlis tersebut telah melantik pihak kedua untuk mengutip hutang dengan cara memberikan penerangan dan pemahaman berhubung tanah wakaf yang disewa perlu dijelaskan kerana hasilnya akan digunakan membantu orang lain.
"Masih ada yang tidak faham, mereka kata itu tanah wakaf tidak perlu bayar sewa, itu satu kefahaman yang sangat silap. Sebab tanah itu bukan wakaf atas dia tapi kepada MAIK. Kami sewa kepada dia dan kita kutip sewa dan duit itu kita manfaatkan lagi kepada orang lain. Jadi saya harap orang-orang yang sewa tanah wakaf ini, tolonglah bayar.
"Orang dulu sangat prihatin dan sanggup wakaf tanah sawah padi ini, tapi bila sekarang anak-anak mereka nak ambil balik, jadi pergaduhan sebab katanya bapa tidak wakaf pun.
"Sebab itu sekarang siapa yang mahu wakafkan tanah boleh ke pejabat tanah ambil borang dan isi untuk mengesahkan tanah ini diwakafkan," katanya pada sidang media di Bangunan Wan Mat Saman.
Abd Rahman berkata, kebanyakan yang gagal melunaskan hutang tersebut terdiri daripada mereka yang menyewa tanah wakaf untuk dijadikan sebagai sawah padi di beberapa tempat di negeri ini.
Jelasnya, setiap penyewa dikenakan bayaran RM450 untuk satu musim padi bagi keluasan satu relung atau 0.28777 hektar.
Dalam pada itu, Abdul Rahman menjelaskan, MAIK kini dalam perancangan untuk membina sebuah masjid pertama hasil kutipan wakaf tunai di negeri ini yang telah terkumpul hampir RM2 juta sejak tahun 2014 di Kampung Hujung Keton, Pendang.
"Selain sebuah masjid yang bakal dibina hasil duit wakaf di Pendang, MAIK kini dalam proses kerjasama dengan sebuah pihak untuk membangunkan projek perumahan di atas tanah wakaf am seluas 27 ekar di Kuala Kedah.
"Sebanyak 286 unit buah rumah terdiri dari teres, semi D, kos sederhana, bangunan kedai dan beberapa jenis lagi. Ini projek terbesar MAIK yang sedang diusahakan,"katanya.
Terdahulu, sebanyak 1,300 imam dan pegawai dari 576 masjid seluruh Kedah mengikuti Konvensyen Wakaf negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, dekat sini yang dirasmikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Konvensyen tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada pegawai masjid berkaitan pentadbiran, tatacara pengurusan wakaf dan menjana aset masjid dalam bentuk harta wakaf.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!