Perkeso salur RM3.57 juta tingkat kesedaran KKP

Bantuan kewangan Perkeso berasaskan skop dan bidang bagi setiap institusi dan NGO.
Bantuan kewangan Perkeso berasaskan skop dan bidang bagi setiap institusi dan NGO.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah RM3.57 juta bantuan kewangan diperuntukkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi melaksanakan aktiviti memupuk kesedaran aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata, bagi tahun ini, 37 badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi menerima bantuan itu bagi melaksanakan 639 program berkaitan KKP.

"Saya berharap agar semua NGO dan institusi yang menerima bantuan kewangan yang disalurkan Perkeso ini dapat menguruskan dana tersebut dengan sebaiknya dan memastikan semua program yang dirancang akan berjalan lancar dan sempurna.

"Dalam fasa pandemik pada 2021, saya dimaklumkan sebanyak 399 program KKP dilaksanakan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.25 juta," katanya pada Majlis Penyerahan Geran Bantuan Kewangan Perkeso Kepada Institusi dan NGO 2022 pada Selasa.

Bantuan kewangan berkenaan berasaskan skop dan bidang bagi setiap institusi dan NGO untuk membantu Perkeso memupuk kesedaran mengenai KKP, seterusnya mengurangkan kadar kemalangan dalam negara.

Awang berkata, sepanjang tahun lepas, Perkeso menerima laporan 56,990 kes kemalangan, dengan 33,096 daripadanya kes kemalangan industri manakala 23,894 kes kemalangan semasa dalam perjalanan (commuting accident).

Beliau berkata, berdasarkan statistik itu, kecuaian dan kelemahan pemantauan ke atas pematuhan KKP di tempat kerja merupakan faktor utama menyumbang kepada kes kemalangan.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Zailee Dollah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!