Petani, penternak di pedalaman masih perlu dibantu

Nik Muhammad Zawawi (kanan) selepas merasmikan logo bagi Program Agrobank dan Komuniti di Cherang Rotan, Pasir Puteh pada Selasa.
Nik Muhammad Zawawi (kanan) selepas merasmikan logo bagi Program Agrobank dan Komuniti di Cherang Rotan, Pasir Puteh pada Selasa.
A
A
A

PASIR PUTEH - Golongan petani dan penternak di kawasan pedalaman dikenal pasti masih cetek pengetahuan berkenaan bantuan kewangan, khidmat nasihat, peralatan yang disediakan kerajaan kepada mereka.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ada antara usahawan berlatar belakangkan pendidikan tidak tinggi dan tinggal di kawasan pedalaman sering kali tercicir dari sudut bantuan yang disediakan kerajaan.

"Dengan adanya program seperti hari ini akan membuka ruang kepada mereka untuk mengetahui bantuan yang disediakan kerajaan melalui Agrobank.

"Kepada usahawan yang bakal menerima bantuan daripada kerajaan, rancang perniagaan dengan baik. Kita mesti berdisiplin dengan bantuan yang diberikan," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau hadir merasmikan Pelancaran Logo Program Agrobank dan Komuniti di Cherang Rotan, di sini.

Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata, dengan pelbagai program komuniti yang dirancang, pihaknya berharap masyarakat akan menggunakan sebaik mungkin input berguna bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Katanya, menerusi program tersebut kerajaan dapat membantu kelompok berkenaan keluar dari kepompong kemiskinan dan memberi keyakinan bagi mendapatkan bantuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Tengku Ahmad Badli Shah memberitahu, sehingga Disember 2021, Agrobank mencatatkan jumlah baki pembiayaan di Kelantan sebanyak RM742.15 juta dengan pertumbuhan sebanyak sembilan peratus bersamaan dengan RM61.09 juta berbanding tahun lalu.

Katanya, ini menunjukkan bahawa kegiatan pertanian di Kelantan sangat aktif dan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!