Sekarang bukan masa sesuai naik gaji minimum: MEF

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan (dua dari kiri) dalam program bual bicara Minda Profesor Negara bertajuk ‘Gaji Minimum di Malaysia : Apa Kesudahannya?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Majlis Profesor Negara (MPN) pada Selasa.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan (dua dari kiri) dalam program bual bicara Minda Profesor Negara bertajuk ‘Gaji Minimum di Malaysia : Apa Kesudahannya?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Majlis Profesor Negara (MPN) pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berpendapat bahawa sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk melaksanakan kenaikan gaji minimum di Malaysia susulan ketidakstabilan ekonomi syarikat-syarikat yang beroperasi dalam negara.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, berdasarkan laporan di Parlimen pada tahun 2020 dan 2021, sebanyak 37,000 syarikat terpaksa gulung tikar akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Menurutnya, hal itu menyebabkan kira-kira 107,000 dan 61,000 pekerja telah diberhentikan kerja masing-masing pada tahun 2020 dan 2021, manakala kira-kira 6,000 pekerja hilang pekerjaan setakat Januari tahun ini.

“Kita rasakan bahawa pada penghujung tahun 2021, negara berada dalam situasi pemulihan Covid-19 yang agak baik, namun masa itu berlaku pula banjir besar terutamanya di Lembah Klang.

“Syarikat-syarikat dan juga mereka yang terlibat dengan banjir berkenaan dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM20 bilion.

“Kadar pertumbuhan ekonomi dan produktiviti negara sedang menurun dan ini adalah senario untuk kita lihat adakah majikan akan mampu untuk membayar RM1,500 sebulan sekiranya kerajaan telah tetapkan gaji minimum tersebut,” katanya pada program bual bicara Minda Profesor Negara bertajuk ‘Gaji Minimum di Malaysia: Apa Kesudahannya?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Majlis Profesor Negara (MPN) pada Selasa.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan (MOF) melaporkan bahawa kerajaan telah membelanjakan lebih RM20 bilion untuk program subsidi sahaja, tidak termasuk insentif lain.

Katanya, lebih 300,000 majikan telah mendapat faedah daripada subsidi upah berkenaan dan ia membolehkan syarikat membantu kira-kira 2.5 juta pekerja.

Artikel Berkaitan:

“Sedangkan banyak syarikat yang memerlukan subsidi untuk menambah kos dan terus beroperasi, itu pun mereka masih tercungap-cungap, apatah lagi jika dibebankan dengan peningkatan gaji minima.

“Kesannya mungkin banyak lagi syarikat akan gulung tikar atau pindahkan kos tersebut kepada pengguna dan peningkatan kos yang akan berlaku di pasaran bakal membebankan pengguna yang terdiri daripada pekerja tempatan itu sendiri.

“Gaji takat itu sahaja, tapi kos sara hidup meningkat. Jadi kalau ini berlaku, pasti akan berlaku banyak ketidakpuasan hati dalam masyarakat apabila isu gaji minimum ini dilaksanakan pada peringkat RM1,500,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!