Padah langgar lampu isyarat merah

Anggota polis sedang memeriksa seorang penunggang motosikal dalam Operasi Pencegahan Jenayah Khas (Lampu Isyarat) di Kemaman pada Isnin.
Anggota polis sedang memeriksa seorang penunggang motosikal dalam Operasi Pencegahan Jenayah Khas (Lampu Isyarat) di Kemaman pada Isnin.
A
A
A

KEMAMAN – Polis Kemaman mengeluarkan sebanyak 59 saman kepada pemandu kenderaan kerana melakukan kesalahan tidak berhenti ketika lampu isyarat merah dalam Operasi Pencegahan Jenayah Khas (Lampu Isyarat) pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ia sebahagian daripada 108 saman yang dikeluarkan dalam tempoh tiga jam operasi tersebut diadakan bermula jam 4 petang.

Menurutnya, selain gagal berhenti ketika lampu isyarat merah, 49 saman turut dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan lain termasuk tidak memakai topi keledar, cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu.

“Operasi ini diadakan di dua lokasi berbeza iaitu di lampu isyarat hospital dan lampu isyarat Majlis Perbandaran Kemaman.

“Ia bertujuan mendidik pengguna jalan raya agar lebih berdisiplin dan sentiasa mematuhi peraturan ketika berada di lampu isyarat bagi mengelak berlakunya kemalangan,” katanya di sini pada Selasa.

Hanyan berkata, operasi tersebut melibatkan 29 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Katanya, sebanyak 108 pelbagai jenis kenderaan dan 115 individu telah diperiksa sepanjang operasi yang berakhir pada jam 7 malam itu diadakan namun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

“Kita akan teruskan operasi ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan jalan raya sekali gus mengurangkan kemalangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!