Aset Maritim ditambah, perkasa keupayaan jaga perairan negara

Hamzah (kanan) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun ke-17 (HUT17) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Pusat Hidrografi Nasional Pelabuhan Klang pada Selasa. - Foto Bernama
Hamzah (kanan) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun ke-17 (HUT17) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Pusat Hidrografi Nasional Pelabuhan Klang pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Aset-aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melibatkan kapal dan helikopter akan ditambah bagi membantu operasi penguatkuasaan dan menyelamat agensi itu di perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu dilakukan bagi memperkasakan lagi aset yang dimiliki agensi itu memandangkan terdapat beberapa aset laut Maritim Malaysia yang telah berusia lebih 30 tahun.

Antara kapal yang telah berusia lebih 30 tahun termasuk KM Amanah (40 tahun), KM Langkawi (30 tahun) dan KM Siangin (lebih 30 tahun), yang kini ditempatkan di perairan sekitar semenanjung Malaysia.

"Kapal-kapal Maritim Malaysia yang ada telah berusia terlalu lama, jadi rancangan Kementerian Dalam Negeri adalah untuk memastikan segala aset yang diperlukan, dapat diperoleh secepat mungkin bagi membantu negara dari pencerobohan oleh mereka yang melakukan jenayah terancang (di perairan negara),” katanya.

Menurutnya, kontrak telah diberikan kepada sebuah syarikat tempatan, yang sepatutnya menyerahkan kapal tersebut dua tahun lepas tetapi mengalami kelewatan kerana ketidakupayaan syarikat itu.

"Kalau tidak, kita telah ada tiga buah kapal baharu tapi oleh kerana kelewatan mereka ia tergendala, bagaimanapun kita tekan mereka untuk menentukan kapal-kapal ini siap dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media sempena sambutan ulang tahun ke-17 Maritim Malaysia di sini pada Selasa.

Susulan itu, Hamzah berkata, kapal yang pertama baharu Maritim Malaysia dijangka akan diterima pada tahun ini, manakala sebuah kapal lagi akan diterima tahun hadapan, dan sebuah lagi pada 2024.

Pada masa yang sama katanya, pihaknya merancang untuk menambah tiga lagi helikopter untuk kegunaan Maritim Malaysia.

"Helikopter yang ada sekarang hanya boleh beroperasi selama empat jam, dan itu tidak mencukupi sebab itu kita rasakan perlu dapat beberapa lagi buah helikopter,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!