Sasar 1,000 anggota CDERT FAMA pada tahun depan

Abd Latiff (depan tengah ) dan Ronald (depan dua dari kanan) bergambar bersama anggota CDERT FAMA dan penerima watikah pelantikan Pegawai Bersekutu APM di Institut Latihan FAMA pada Selasa.
Abd Latiff (depan tengah ) dan Ronald (depan dua dari kanan) bergambar bersama anggota CDERT FAMA dan penerima watikah pelantikan Pegawai Bersekutu APM di Institut Latihan FAMA pada Selasa.
A
A
A

PORT DICKSON - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan seramai 1,000 kakitangannya menyertai Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) FAMA menjelang tahun hadapan.

Penubuhan pasukan berkenaan bagi meningkatkan peranan FAMA bagi memastikan Jaminan Bekalan Makanan Negara mencukupi ketika berlakunya bencana atau krisis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, penubuhan CDERT FAMA dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak November tahun lalu itu diharap dapat menambah baik imej kerajaan dan agensi terlibat.

"Perkongsian bijak antara dua agensi ini amat baik kerana apabila berlaku bencana, perkara awal yang akan kita fikirkan selain proses menyelamatkan nyawa dan harta benda adalah makanan.

"Selama ini FAMA sememangnya bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkenaan isu makanan dan bila FAMA terlibat sendiri, mereka tahu bagaimana mahu mengurus di peringkat komuniti kerana agensi itu ada di merata tempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas majlis Pelancaran CDERT FAMA dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Bersekutu APM di Institut Latihan FAMA di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed.

Artikel Berkaitan:

Abd Latiff (tengah) menyaksikan Aminurrahim (dua dari kiri) menyampaikan Watikah Pelantikan Pegawai Bersekutu APM kepada penerima.
Abd Latiff (tengah) menyaksikan Aminurrahim (dua dari kiri) menyampaikan Watikah Pelantikan Pegawai Bersekutu APM kepada penerima.

Sementara itu Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, sehingga ini seramai 240 kakitangannya telah menganggotai CDERT FAMA.

Ujarnya, FAMA tidak mahu ketinggalan untuk bersama kerajaan secara lebih aktif dalam membantu ketika bencana.

"Kerajaan juga telah memberi peruntukan kepada FAMA untuk membina pusat-pusat penyimpanan, bilik-bilik sejuk, depoh dan logistik bagi penyimpanan untuk pengedaran barang-barang makanan.

"Dengan cara ini kita berharap dapat bersama-sama APM membantu operasi bencana kerana kepakaran kita ialah dari segi penyimpanan dan pengedaran makanan," katanya.

Jelasnya, anggota CDERT FAMA juga akan mendaftar sebagai sukarelawan APM di peringkat daerah masing-masing.

Zainal berkata, secara tidak langsung mereka akan jadi sebahagian anggota APM dalam memberikan khidmat masyarakat terutama ketika bencana.

"Baru-baru ini kakitangan FAMA yang sudah mengikuti latihan siri pertama dan kedua turut bersama anggota APM membantu mangsa banjir di Jelebu baru-baru ini.

"Selepas ini kita (FAMA) akan menyusun di setiap negeri organisasi kakitangan yang sudah terlatih bagi mencapai objektif 1,000 anggota menyertai latihan ini," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!