Harimau Muda menang percuma
PENARIKAN diri saat akhir pasukan Myanmar pada kejohanan AFF B-23 2022 menyaksikan pasukan Harimau Muda 'menang percuma' pada aksi pertama kumpulan B yang dijadual berlangsung petang ini.
Perkembangan tersebut diumumkan Presiden AFF, Mejar Gen Khiev Sameth menerusi satu kenyataan sambil memberitahu penarikan diri itu dibuat Persekutuan Bolasepak Myanmar (MFF) susulan masalah Covid-19 yang melanda pasukan kendalian Velizar Popov.
"Dukacitanya dimaklumkan pasukan Myanmar terpaksa menarik diri daripada Kejuaraan B-23 AFF 2022.
"Kami memahami pasukan itu sememangnya bersemangat untuk memulakan kempen dan penyokong juga tidak sabar untuk menyaksikan pasukan masing-masing, namun atas dasar kesihatan dan keselamatan semua pihak yang terbabit, kami memahami keputusan yang terpaksa diambil oleh negara itu.
"Kami mendoakan mereka yang dijangkiti dapat sembuh dengan segera," katanya.
Untuk rekod, Myanmar bukanlah pasukan pertama yang menarik diri pada kejohanan yang berlangsung di Kemboja ini.
Sebelum ini, pasukan Indonesia yang diundi bersama Malaysia dalam kumpulan B turut mengambil keputusan yang sama untuk menarik diri ekoran masalah Covid-19 yang melanda para pemain.
Kini saingan kumpulan B hanya tertumpu kepada dua pasukan iaitu Malaysia dan Laos dengan kedua-dua negara bakal bertemu bagi menentukan juara kumpulan B di Stadium Prince, Kemboja pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!