Tiada rombakan dalam PKR Perak: Boon Chye
IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak tidak akan merombak struktur Majlis Pimpinan Negeri (MPN) sedia ada walaupun pengerusi bertukar.
Pengerusi PKR Perak yang baharu, Datuk Dr Lee Boon Chye berkata, kebanyakan pemimpin sedia ada tiada masalah untuk bekerjasama.
Menurutnya, dasar dan perancangan sedia ada juga tidak akan ditukar tetapi ditambah baik dari semasa ke semasa untuk memperkukuhkan parti.
"Dari segi prinsip, kebanyakan jawatan sedia ada yang diteliti saya rasa tak ada masalah besar untuk MPN Perak. Tidak ada keperluan untuk rombakan dalam MPN. Saya yakin MPN boleh kerjasama sebagai satu pasukan dalam keluarga PKR.
"Sebagai kapten dalam kapal, kita tak boleh tiba-tiba tukar hala tuju. Yang penting adalah apa yang baik kekalkan supaya kesinambungan tidak terjejas dan jika ada perkara yang perlu ditambah baik akan dikaji semula," katanya kepada Sinar Harian ketika hadir mempengerusikan mesyuarat pertama sebagai pengerusi PKR Perak di Pejabat PKR negeri, di sini pada Selasa.
Dr Boon Chye berkata, dalam tempoh yang singkat ini sehingga pemilihan pada bulan April, tidak banyak perubahan dapat dilakukan.
Namun menurutnya, terdapat tiga perkara utama yang diberikan perhatian utama iaitu PKR harus menjadi suara rakyat khususnya di Perak yang mesti dilakukan melalui organisasi parti dan kerjasama di dalam Pakatan Harapan (PH).
"Kedua, untuk masa terdekat, kerana parti akan menghadapi pemilihan, dari segi logistik dan persiapan untuk pemilihan agak penting supaya kita boleh membantu Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) supaya kita adakan pemilihan parti dengan lancar.
"Ketiga, kita juga perlu teruskan kerja untuk persiapan PRU15. Jadi kerja-kerja yang telah dilaksanakan akan diteruskan untuk kita buat persiapan," katanya.
Sementara itu, mengenai pemilihan parti, Dr Boon Chye menjangkakan tiada pertandingan sengit bakal berlaku di Perak.
Katanya, bagaimanapun setiap pertandingan perlu dijalankan mengikut peruntukan yang termaktub di dalam perlembagaan parti.
Jelasnya, MPN tidak akan campur tangan dalam pemilihan ini sebaliknya akan memastikan perjalanan pemilihan lancar.
"Saya juga harap pemilihan ini sekiranya ada pertandingan, ini lebih kepada persaingan antara saudara-mara atau abang adik.
"Siapa menang dan kalah, saya harap boleh bersatu padu selepas pemilihan sebagai satu keluarga, boleh teruskan perjuangan parti walaupun persaingan akan berlaku," kata Ahli Parlimen Gopeng itu.
Pada 12 Februari lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Dr Boon Chye sebagai pengerusi sementara PKR Perak menggantikan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang melepaskan jawatan sebagai Ketua PKR Cabang Kuala Kangsar.
Ketetapan parti meletakkan bahawa pengerusi PKR negeri hanya dilantik dalam kalangan ketua-ketua cabang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!