'UMNO gembira jika rakyat tidak keluar mengundi'

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO akan bersorak gembira sekiranya rakyat takut atau tidak peduli untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Menurutnya, strategi UMNO adalah untuk memaksimumkan pengundi teras mereka yang keluar mengundi kerana kebanyakannya memang menetap dalam kawasan itu.

“Jika pengundi yang menetap di luar tidak balik mengundi, maka UMNO akan gembira kerana yang menetap di luar kawasan ramai yang menyokong Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH), bukan menyokong UMNO.

“Di Melaka itulah yang memenangkan UMNO apabila mereka yang menetap di luar kawasan tidak balik mengundi, fenomena ini UMNO harap berulang kembali di Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Wan Saiful berkata, sebelum ini dalam Jelajah Penerangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, beliau turut menyatakan kebimbangan mengenai peratusan yang akan keluar mengundi pada 12 Mac nanti.

“Saya tidak percaya dengan pandangan sesetengah pihak bahawa bilangan kes positif Covid-19 sengaja dinaikkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menakutkan pengundi, tuduhan tersebut tidak wajar.

“Saya menyeru pengundi yang menetap di luar kawasan supaya merancang untuk balik mengundi pada 12 Mac nanti.

“Ini peluang untuk menentukan masa depan negeri Johor. Jangan lepaskan peluang ini dan pastikan undi anda adalah untuk menghentikan sifat tamak dan bongkak UMNO dan Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!