PRK Rantau bukan biasa-biasa
SEREMBAN - PRK DUN Rantau yang berlangsung pada 13 April ini bukanlah pilihan raya biasa, sebaliknya ia melibatkan maruah calon terutama Dr S Streram yang dinafikan haknya untuk bertanding pada PRU 14 lalu.
Pengarah PRK DUN Rantau, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, maruah calon PKR pada hari penamaan calon semasa PRU14 tercalar gara-gara ada pihak yang tidak mengikut prosedur sepatutnya sehingga memberi kemenangan mudah kepada penyandang kerusi itu, Datuk Seri Mohamad Hasan.
"Walau pun kita tahu Rantau ini adalah kubu kuat BN, tetapi bagi saya tiada yang mustahil memandangkan calon PH juga tidak kurang hebatnya.
"Pengumuman awal calon PH bagi PRK Rantau ini akan memudahkan lagi jentera kita bergerak sekali gus membantu calon mendekati rakyat Rantau dengan lebih baik," katanya pada Majlis Pelancaran Permohonan PPR Rantau di Jalan Siliau di sini, hari ini.
Menurutnya, semua jentera di setiap peringkat dalam mahupun luar Negeri Sembilan, diminta untuk bersama membantu calon PH berkempen, sebaik sahaja hari penamaan calon selesai 30 Mac ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!