Persekutuan salur lebih RM21 juta kepada Negeri Sembilan

Idris
Idris
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM21.18 juta kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Negeri Sembilan pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM12.8 juta diperuntukkan kepada imam, bilal, siak dan guru takmir di negeri itu melibatkan seramai 4,034 penerima, manakala elaun dan bayaran khas bagi 2,129 guru KAFA pula masing-masing berjumlah RM7.3 juta dan RM1.06 juta.

"Bayaran khas RM500 secara 'one-off' diberikan kepada 1,696 penerima terdiri daripada imam, bilal siak, dan guru takmir dengan peruntukan RM848,000, yang akan disalurkan kepada penerima sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2022 di Masjid Sri Sendayan di sini pada Selasa.

Idris berkata, caruman kerajaan sebanyak RM232.80 seorang bagi Pakej Program Perlindungan di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung) Perkeso, juga diteruskan tahun ini kepada imam, bilal, siak dan guru takmir di negeri ini dengan peruntukan RM282,153 setahun.

Beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM140 juta bagi projek infrastruktur sekolah Tahfiz dan pondok yang mendaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, isu ajaran sesat di negara ini masih terkawal dan pemantauan terus dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Agama Islam di setiap negeri.

"Sekiranya terdapat bahan-bahan di media sosial mengenai ajaran sesat oleh individu di negara ini, terus maklumkan kepada Jakim dan kami akan menyalurkan maklumat itu kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!