Bersih cabar parti bertanding ambil Cabaran Johor

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mencabar semua calon dan parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk mengambil Cabaran Johor dengan menjanjikan agenda pembaharuan institusi politik.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataan berkata, agenda tersebut melibatkan kestabilan dan akauntabiliti selepas pilihan raya melalui penambahbaikan sistem dan institusi politik sebagai agenda utama dalam manifesto pilihan raya parti-parti politik berkenaan.

“Bersih berpandangan bahawa kestabilan politik sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak ada akauntabiliti dan perkara ini amat penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi dalam negara kita.

“Sistem politik kita telah lama terkebelakang dan sudah tiba saatnya demokrasi kita bergerak maju ke hadapan melalui penambahbaikan dan pembaharuan politik yang lebih sihat, matang dan profesional.

“Justeru, Bersih mencabar calon-calon dan parti-parti politik yang akan bertanding dalam PRN Johor untuk mengambil Cabaran Johor dengan menjanjikan pembaharuan berikut, bukan saja dalam manifesto mereka tetapi juga persediaan untuk berkerjasama dengan parti lain untuk merealisasikan pembaharuan yang sesetengahnya memerlukan pindaan perlembagaan negeri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, Cabaran Johor melibatkan tujuh agenda pembaharuan menggubal sebuah Enakmen Prosedur Pecat, memperkenalkan Undi Tidak Percaya Secara Konstruktif (‘Constructive Vote of No Confidence’), menggubal sebuah Enakmen Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF).

Tambahnya, selain itu agenda lain turut menggubal sebuah enakmen pendanaan awam kepada parti politik berdasarkan jumlah atau peratusan undi, memperkenalkan Enakmen Penggal Tetap Dewan Undangan Negeri (DUN), mengehadkan jawatan menteri besar selama dua penggal, memperkenalkan Kerusi Tambahan Untuk Wanita (TWOAS).

“Perkara ini perlu menjadi inti kepada manifesto pilihan raya agar politik tidak berkecamuk dengan kepentingan pihak tertentu dan membelakangi rakyat serta institusi politik negara kita.

Artikel Berkaitan:

“Mereka yang enggan mengangkat cadangan ini supaya dapat mengaut keuntungan daripada kelompangan yang wujud dalam sistem politik kita perlu dihukum oleh pengundi di Johor,” tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, kata kenyataan tersebut, Bersih juga menggesa semua parti yang menerima Cabaran Johor ini untuk menandatangani satu Perjanjian Persaingan Sihat.

“Ia untuk menjanjikan persediaan mereka untuk menerima keputusan rakyat pada hari pengundian, tidak akan menarik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti lain untuk berpaling tadah.

“Sebaliknya akan bekerjasama antara satu sama lain dalam pindaan perlembagaan negeri dan Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN dan penggubalan enakmen baharu demi merealisasikan Cabaran Johor ini,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!