Sultan Selangor bangga pejabat baginda kekal pengurusan berkualiti
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sukacita dan bangga dengan pencapaian dan kecemerlangan pejabat baginda serta kakitangannya, dalam mengekalkan pengiktirafan Pensijilan MS ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Berkualiti).
Menurut satu hantaran daripada Facebook The Selangor Royal Office, pejabat baginda diiktiraf sebagai pengurusan istana pertama di Malaysia yang memperoleh persijilan tersebut daripada Malaysia Book of Record pada 27 Jun 2019.
Menurut hantaran tersebut, Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar aspek pengurusan dan pentadbiran Istana Selangor diberi keutamaan sejak baginda ditabalkan menjadi Sultan Selangor kesembilan pada tahun 2001.
Malah, baginda turut menetapkan penanda aras untuk mencapai satu tahap kecemerlangan dalam tempoh lima tahun pemerintahannya.
“Di bawah kendalian Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Zakaria Abdul Rahman sejak tahun 2003 dan bersara pada tahun 2019, pejabat baginda meraih kecemerlangan dalam skop amalan dan kriteria pengurusan merangkumi lawatan ke istana, hal ehwal majlis dan istiadat diraja serta penyediaan santapan diraja.
“Pensijilan yang diterima oleh pejabat baginda dikemaskini pada 30 Disember 2021 untuk tempoh sehingga 7 Januari 2025 di bawah pentadbiran Dato Pengelola Bijaya Diraja baharu, Datuk Sawaluddin Md Nor,” kata hantaran tersebut pada Selasa.
Dalam pada itu, baginda berharap semua kakitangan pejabatnya terus komited menjalankan tugas masing-masing dan amanah serta sentiasa berusaha untuk mengekalkan kecemerlangan pentadbiran.
Titahnya, Pejabat Sultan Selangor pernah menerima Pensijilan ISO 9001:2008 sebelum ia dinaik taraf kepada ISO 9001:2015 pada 10 November 2017.
“Dengan penganugerahan ISO ini juga, pentadbiran dan pengurusan Istana Alam Shah adalah setanding dengan organisasi kerajaan ataupun swasta yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa,” titahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!