Maloney kecewa Harimau Muda kena tunggu lagi

Foto: Football Association of Malaysia
Foto: Football Association of Malaysia
A
A
A

PENGENDALI Harimau Muda, Brad Maloney kecewa apabila skuad Bawah 23 tahunnya terpaksa menunggu lebih lama untuk memulakan kempen Kejuaraan B-23 AFF selepas Myanmar menarik diri pada Selasa sekali gus menyaksikan aksi pembukaan saingan Kumpulan B Malaysia menentang anak buah Velizar Popov di Stadium Prince di Phnom Penh, Kemboja dibatalkan.

Maloney berkata, pasukannya tidak sabar untuk beraksi pada tiga perlawanan kumpulan sebelum kejohanan itu.

"Kami datang ke sini (Phnom Penh) untuk bermain bola sepak dan memberi pendedahan kepada pemain di peringkat antarabangsa, jadi ketika ini sudah pasti kurang dua perlawanan yang kami ada peluang untuk beraksi.

"Bagi saya, amat memalukan kami tidak boleh bermain bola sepak dan saya memahami keadaan dilalui Indonesia dan Myanmar hingga mereka perlu menarik diri, memandangkan aksi kumpulan kini hanya tinggal satu perlawanan antara kami dan Laos, jadi kita lihat apa yang akan berlaku seterusnya,” katanya pada sidang media secara maya dari Phnom Penh pada Selasa.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum itu menerusi laman Facebook rasminya mengesahkan Myanmar terpaksa menarik diri daripada kejohanan berikutan penularan kes Covid-19 dalam skuad tersebut.

Myanmar merupakan pasukan kedua menarik diri daripada kejohanan itu selepas juara bertahan Indonesia yang turut diundi dalam Kumpulan B bertindak sama pada Jumaat lepas berikutan tujuh pemain dan seorang pegawai pasukan disahkan positif Covid-19.

Dengan penarikan diri itu, saingan Kumpulan B kini hanya melibatkan Malaysia dan Laos dan kedua-dua pasukan akan bertemu di Stadium Prince pada 18 Februari untuk menentukan juara kumpulan sekali gus automatik layak ke separuh akhir.

"Terdapat cadangan untuk kami menentang Laos dua kali memandangkan hanya tinggal dua pasukan tetapi Laos menolak cadangan itu. Jadi, ia akan menjadi perlawanan tunggal yang boleh dianggap perlawanan yang penting untuk ke separuh akhir,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir pada 24 Februari manakala perlawanan akhir dijadual pada 26 Februari.

Sementara itu, jurulatih kelahiran Australia itu turut menafikan laluan pasukannya ke separuh akhir lebih mudah apabila mereka hanya perlu bertemu Laos.

"Saya tidak nampak apa-apa kelebihan, perlawanan tunggal apa-apa boleh berlaku, ia seperti perlawanan akhir, tiada perkara mudah mengenainya kami masih perlu menyelesaikan tugas itu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!