Inisiatif JaminKerja 2020 bakal cipta 600,000 peluang pekerjaan

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang berlandaskan konsep ‘jobs guarantee’ bakal mencipta 600,000 peluang pekerjaan, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, inisiatif yang membabitkan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Februari ini.

"Kita akan menganjurkan Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 siri yang pertama pada tahun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Karnival ini akan melibatkan 50 majikan, dengan lebih 2,500 peluang pekerjaan ditawarkan.

"Selain itu, terdapat aktiviti seperti kaunseling kerjaya, sesi temu duga bersama majikan, bantuan pendaftaran Portal Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs dan sebagainya,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Agenda Awani bertajuk ‘Ketahanan Ekonomi Keluarga Malaysia’ terbitan Astro Awani pada Selasa.

Inisiatif JaminKerja merupakan kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).

Ia terdiri daripada tiga komponen utama iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, Malaysia Shortterm Employment Programme (MySTEP) serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran.

Menurut Tengku Zafrul, pada tahun lepas kerajaan berjaya menjana hampir 560,000 peluang pekerjaan melebihi sasaran awal sebanyak 500,000 yang sekali gus membantu menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran.

Bagi Insentif Penggajian JaminKerja, beliau berkata, permohonan telah dibuka mulai 17 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2022 yang boleh dibuat melalui laman web Perkeso.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, Program MySTEP akan dilanjutkan pada tahun ini dengan 80,000 peluang pekerjaan disasarkan.

"Ini merupakan program pekerjaan jangka pendek secara kontrak di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran para pencari kerja,” katanya sambil menambah sebanyak 61,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan menerusi program tersebut melepasi sasaran 50,000 pada tahun lepas.

Beliau berkata, kerajaan juga turut menyasarkan 220,000 pelatih menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dan sebanyak 5,000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

"Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah program ‘place and train’ (latihan + jaminan pekerjaan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, JaminKerja turut menyediakan pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran, termasuk program peningkatan kemahiran dengan kerjasama industri.

Keutamaan juga diberi kepada kemahiran digital, contohnya program Global Online Workforce (GLOW) di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

"JaminKerja turut menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan tumpuan seperti orang kurang upaya (OKU), orang Asli dan banduan dengan pembabitan pelbagai agensi berkaitan antaranya Majlis Pembangunan Sumber Manusia (HRDC), Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” katanya.

Sementara itu, katanya, sebanyak RM6.6 bilion telah diperuntukkan di bawah Bajet 2022 untuk memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berkaitan.

"Justeru, sudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama kepada para belia kerana TVET telah terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan,” tambahnya.

Tengku Zafrul menegaskan bahawa Kementerian Kewangan dan kerajaan sentiasa responsif dalam memastikan seluruh Keluarga Malaysia dan komuniti perniagaan disokong sebaik mungkin, terutamanya dalam memperkukuhkan pemulihan ekonomi negara yang semakin jelas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!