'Saya bermain untuk Thinaah' - Pearly Tan

Pearly Tan-Valeree Siow -Foto BAM
Pearly Tan-Valeree Siow -Foto BAM
A
A
A

"SAYA bermain untuk Thinaah....” Itulah yang dikatakan pemain badminton beregu wanita negara Pearly Tan selepas beliau yang berpasangan sementara bersama Valeree Siow, memberikan mata kedua Malaysia pada perlawanan pertama Kumpulan Y di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di sini pada Selasa.

Pasangan yang baru digandingkan, bermain dengan baik sehingga berjaya mengalahkan pasangan Rui Hirokami-Yuna Kato 24-22, 21-18, bagi menyamakan kedudukan 2-2, ketika Malaysia berhadapan juara bertahan Jepun, sebelum pasangan Anna Cheong-Teoh Mei Xing mengalahkan Hina Akechi-Riko Gunji 21-12,21-5 untuk menang 3-2.

Pearly akui yang beliau terkejut apabila mendapati nama Thinaah digugurkan sebaik senarai pemain dikeluarkan pada Selasa, pada hari pertama kejohanan yang berlangsung di Pusat Konvesyen Setia City.

Thinaah terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir selepas diuji positif Covid-19 awal Selasa.

"Dia ada ‘text’ saya sebelum perlawanan bermula, dia pun sedih (tidak dapat bermain). Mestilah terkejut Thinaah positif (Covid-19), tetapi kita perlu teruskan.

"Jurulatih pun cakap jangan fikir banyak, mesti berjuang untuk dapatkan satu mata untuk pasukan kita,” katanya kepada wartawan ketika ditemui selepas perlawnan menentang Rui-Yuna.

Mengenai permainan beliau Pearly, Valeree yang pernah berpasangan dengan pemain itu pada sesi latihan berkata adalah sesuatu yang normal untuk berlaku perubahan pada saat-saat akhir, dalam acara berpasukan.

"Ia satu pengalaman yang bagus bermain bersama Pearly. Saya hanya perlu untuk lebih konsisten dan kurangkan kesilapan pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada perlawanan itu Malaysia bermula dengan kurang baik, selepas pemain perseorangan wanita utama negara S. Kisona (64 dunia) tewas 12-21, 16-21 kepada pemain nombor 72 dunia Natsuri Nidaira, sebelum Jepun mendahului 2-0 selepas pemain nombor 181 dunia Riko Gunji mengalahkan pemenang pingat perak Kejohanan Remaja Asia 2017 Eoon Qi Xuan, 21-17, 21-7.

Bagaimanapun Siti Nurshuhaini Azman, mencipta peluang Malaysia untuk kembali selepas semangat juang beliau berjaya mencuri mata pertama untuk Malaysia, dengan mengalahkan Hina Akechi 21-16, 22-20.

Sementara itu Mei Xing yang berpasangan bersama Anna berkata, kemenangan Siti Nurshuhaini dan pasangan Valeree-Pearly, serta kehadiran peminat Malaysia menaikkan semangatnya, untuk berjaya mendapatkan mata kemenangan Malaysia.

Siti Nurshuhaini pula berkata, beliau perlu memperbaiki permainan pertahanan beliau di gelanggang dan berjanji untuk bermain dengan lebih baik esok.

Pasukan wanita negara berpeluang untuk layak ke separuh akhir, jika berjaya mengalahkan India, manakala pasukan lelaki akan memulakan kempen merekadalam perlawanan Kumpulan B, dengan kedua-dua perlawanan bermula jam 4 petang.

Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir dan secara automatik layak ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber, yang akan berlangsung di Bangkok pada Mei.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!