GEORGETOWN - Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terlangkup dan terapung di tebing laut di Persiaran Karpal Singh, di sini oleh orang awam petang tadi. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mayat lelaki yang tiada pengenalan diri itu dijumpai pada jam 5.50 petang. Menurutnya, mayat itu dijumpai berdekatan kelong ikan di kawasan Ocean View, Persiaran Karpal Singh. "Pengesahan kematian dibuat oleh pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang yang tiba di tempat kejadian. "Siasatan mendapati, mangsa berkulit cerah namun tiada sebarang pengenalan diri. Mangsa masih memakai pakaian dan kasut (but) keselamatan," katanya ketika dihubungi tadi. Tambahnya, pemeriksaan mendapati tiada kecederaan pada mayat tersebut. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).