Cubaan Rusia 'sedapkan hati' Barat?

Unit kereta kebal Rusia kembali semula ke Moscow selepas latihan ketenteraan bersama Belarus berakhir pada Selasa. - Foto AFP
Unit kereta kebal Rusia kembali semula ke Moscow selepas latihan ketenteraan bersama Belarus berakhir pada Selasa. - Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - Pemimpin Barat pada Selasa melihat isyarat positif yang menunjukkan Moscow cuba untuk meredakan ketegangan bersama Ukraine, namun sebahagian daripadanya masih skeptikal dengan perkembangan terbaharu tersebut.

Canselor Jerman, Olaf Scholz yang bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin turut senada dengan pemimpin Barat yang mula menarik nafas lega berhubung krisis Moscow-Kiev.

"Kami dimaklumkan sebahagian anggota tentera telah kembali semula ke pangkalan masing-masing. Ia adalah isyarat yang positif," ujarnya.

Bagaimanapun, Moscow tidak memberikan butiran lanjut tentang proses pengunduran tersebut malah tiada pengesahan dari pihak luar.

Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg menyatakan tiada isyarat jelas menunjukkan krisis itu mula reda dan terdapat alasan kukuh untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan.

Jurucakap pemerintah Perancis juga menyifatkan ia sebagai isyarat positif jika tentera Rusia benar-benar berundur seperti yang didakwa Kremlin.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson melihat isyarat yang 'bercampur baur' walaupun perkembangan itu menunjukkan laluan kini terbuka untuk penyelesaian secara diplomatik.

"Kami melihat sikap keterbukaan Rusia tentang perkara itu. Namun, pendedahan maklumat risikan terbaharu menyebabkan kami masih ragu-ragu.

Artikel Berkaitan:

"Moscow didakwa menempatkan hospital lapangan berhampiran sempadan dengan Kiev di Belarus. Apa tujuan pembukaan hospital lapangan itu jika ia bukan sebagai persediaan untuk melancarkan kempen pencerobohan ke atas Ukraine.

"Selain itu, lebih banyak kumpulan taktikal batalion dikerahkan ke kawasan lebih hampir dengan Kiev," katanya.

Pada awal Selasa, Kementerian Pertahanan Rusia mengumumkan pengunduran sebahagian anggota yang telah selesai menjalani latihan ketenteraan mereka.

"Unit daerah selatan dan barat sudah mula kembali ke garison masing-masing," jelas ketua jurucakap kementerian itu, Igor Konashenkov, namun beliau tidak memberikan butiran lanjut tentang jumlah sebenar unit yang terlibat dan kesan pengunduran itu terhadap jumlah keseluruhan anggota tentera yang 'mengepung' sempadan Ukraine.

Menurutnya, latihan ketenteraan berskala besar masih diteruskan di kebanyakan kawasan termasuk latihan bersama Belarus dan latihan armada di Laut Hitam.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan memanggil pulang anggota tentera mereka adalah 'proses biasa' selepas latihan ketenteraan berakhir dan sikap Barat yang 'berlebih-lebih' tentang penempatan pasukan Rusia di sempadan telah mengeruhkan krisis Moscow-Kiev. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!