Angka kematian insiden tembakan trem meningkat tiga orang
AMSTERDAM - BELANDA. Sekurang-kurangnya tiga maut dan sembilan lagi cedera dalam insiden tembakan trem di bandar Utrecht, awal hari ini.
"Buat masa ini, kami mengesahkan tiga kematian dan sembilan mangsa lain sedera, tiga daripada mereka serius," kata Datuk Bandar Jan van Zanen, dalam kenyataan video di laman Twitter.
Menurut polis anti keganasan, insiden tembakan berkenaan kelihatan seperti serangan pengganas.
Sementara itu, koordinator polis anti keganasan Pieter-Jaap Aalbersberg berkata, fokus utama buat waktu ini adalah untuk menangkap penembak yang masih bebas, menurutnya kemungkinan terdapat lebih dari seorang penyerang.
Tahap ancaman keselamatan di Utrecht berada pada tahap paling tinggi dan laporan mengatakan perkhidmatan kereta api tidak dibenarkan memasuki stesen Utrecht, manakala masjid di seluruh bandar juga ditutup atas sebab keselamatan.
Selain itu, Universiti Utrecht turut menutup kesemua bangunan dan tiada sesiapa dibenarkan keluar atau masuk.
Polis bersenjata dilapor berkawal di luar sebuah rumah di persimpangan 24 Oktoberplein, di mana insiden tembakan tram berlaku.
Perdana Menteri Mark Rutte melahirkan kebimbangan dan dilapor membatalkan perbincangan mingguannya.- AFP
ARTIKEL BERKAITAN: Penyerang lepaskan tembakan dalam tram di Belanda
Seorang dikhuatiri maut insiden tembakan dalam tram di Belanda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!