Lelaki maut dalam kebakaran pejabat
BAGAN DATUK - Seorang lelaki ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah pejabat di jeti nelayan, Jalan Tepi Sungai, Hutan Melintang, di sini, pada Rabu.
Mangsa, Eng Ching Hoe, 43, yang melecur di anggota badan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Zulkafle Abdullah berkata, sepasukan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 7.26 pagi.
"Setibanya di tempat kejadian, kita mendapati ada kesan peratusan kecil kebakaran struktur pejabat. Pemadaman telah dilakukan orang awam dengan menggunakan hos air domestik.
"Pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki dalam keadaan melecur dan tidak sedarkan diri. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, punca kejadian masih disiasat oleh Pasukan Forensik Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!