Dua beranak didakwa miliki arak tanpa kelulusan

Aplanayara (kiri) dan Kartik ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada Rabu.
Aplanayara (kiri) dan Kartik ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada Rabu.
A
A
A

KUALA PILAH - Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada Rabu atas pertuduhan memiliki 1,248 tin arak pelbagai jenama bernilai RM3,494.40 tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dua tahun lalu.

Tertuduh P Aplanayara, 65, dan A Kartik, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki barang larangan iaitu 1, 248 tin arak pelbagai jenama yang bernilai RM3,494.40 yang mana barang-barang tersebut adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Kesalahan itu dilakukan pada 20 Februari 2020 jam lebih kurang 9.30 malam di sebuah rumah di Taman Sri Gelugor di Kuala Pilah.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu tertuduh turut didakwa memiliki 1,248 tin arak pelbagai jenama berduti eksais yang tidak dibuktikan telah dibayar duti eksais bernilai RM13,011. 60.

Perbuatan itu dilakukan pada tarikh dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 74(1)(iv)(A) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih tinggi sehingga tidak lebih 20 kali ganda nilai duti eksais atau RM500,000(yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Kastam, Sarah Abidah Abdul Jabbar menawarkan jaminan RM6,000 terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Barisan peguam mewakili kedua-dua tertuduh, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Nurul Aina Ardilla Abdul Halim merayu supaya tertuduh diberi jaminan rendah atas alasan mereka tiada rekod jenayah dan memberi kerjasama sebaiknya dengan Kastam sepanjang proses siasatan.

Selain itu katanya, Aplanayara tidak bekerja serta mempunyai penyakit diabetes dan darah tinggi dan Kartik hanya bekerja di kedai runcit dan menanggung anak berusia tujuh tahun serta isteri yang mempunyai masalah kesihatan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh dan 16 Mac sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!