MFL umum kerjasama dengan Luno

Stuart (dua dari kiri) pada majlis mengumumkan kerjasama antara MFL dan Luno di Petaling Jaya pada Rabu. - Foto MFL
Stuart (dua dari kiri) pada majlis mengumumkan kerjasama antara MFL dan Luno di Petaling Jaya pada Rabu. - Foto MFL
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan kerjasama dengan bursa aset digital, Luno sebagai Rakan Pelaburan Kripto dan penaja bersama rasmi Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, pihaknya mengalu-alukan kerjasama berkenaan yang membawakan imej menarik kepada Liga Malaysia (Liga-M).

“Hari ini ialah hari yang bersejarah untuk bola sepak Malaysia di mana kita mengalu-alukan kerjasama rakan era baharu yang membawakan imej menarik kepada Liga-M menerusi capaian yang ditawarkan kepada jenama-jenama komersial.

“Saya ingin mengalu-alukan rakan MFL yang terbaru iaitu Luno, bursa aset digital yang dikawal selia pertama dan terkemuka di Malaysia yang menawarkan sebuah platform selamat untuk rakyat Malaysia mula melabur dalam kriptowang.

“Memandangkan dunia telah pun menerima kriptowang, kerjasama ini telah membuka masa depan yang serba baru untuk keluarga rakan MFL dengan kerjasama yang amat luar biasa ini.

“Terima kasih Luno atas keyakinannya terhadap bola sepak Malaysia dan mempercayai kami untuk membantu mengangkat jenamanya menerusi kesedaran mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya di Petaling Jaya pada Rabu.

Untuk rekod, perjanjian kerjasama antara MFL dan Luno selama setahun melibatkan penajaan berjumlah RM1 juta itu merangkumi pelbagai hak penjenamaan termasuk papan iklan di tepi padang, penggunaan logo kelab serta imej pemain dan pengaktifan jenama di stadium.

Sementara itu, Pengurus Negara Luno Malaysia, Aaron Tang berkata, kerjasama berkenaan merupakan detik besar bursa digital berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kerjasama antara Luno dan MFL merupakan satu detik besar bagi kami. Ini adalah kerjasama pertama kami dengan organisasi yang mengendalikan kejohanan bola sepak paling berprestij di Malaysia.

“Lagi pun, Liga-M mempunyai lebih 13 juta peminat, maka kerjasama ini memberikan peluang besar kepada kami untuk melibatkan diri dengan khalayak yang baru dan mengangkat profil jenama kami di kalangan rakyat Malaysia yang mungkin berminat untuk menerokai dunia kriptowang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!