Persatuan penternak ayam gesa perjumpaan bersama MAFI
TEMERLOH - Persatuan Penternak Ayam Melayu Pahang menggesa satu perjumpaan diadakan di antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan penternak ayam kontrak di negara ini.
Pengerusinya, Jamaluddin Abd Ghani berkata, sehingga kini masih belum ada pertemuan dengan penternak kontrak susulan pemberian subsidi 60 sen sekilogram ayam hidup oleh kerajaan.
"Penternak ayam pedaging menerima banyak kesan negatif berikutan kenaikan pelbagai kos selain dedak, kos peralatan juga semakin mahal serta kesukaran mendapatkan tenaga kerja.
"Penternak kontrak bergantung kepada hasil jualan sepenuhnya. Jadi kami memang sangat mengharapkan subsidi ini kerana ia dapat membantu penternak kembali bangkit khususnya yang terjejas akibat Covid-19 dan bencana alam banjir baru-baru ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, bagaimanapun timbul persoalan daripada penternak ayam ada subsidi itu akan terus disalurkan terhadap syarikat integrator atau penternak kontrak.
Sementara itu, Timbalan Pengerusinya, Norhayati Ismail memberitahu, satu memorandum dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Pahang pada Rabu.
Menurutnya, penternak kontrak kian tertekan dengan pelbagai kenaikan yang terpaksa dihadapi mereka.
"Secara kasarnya, penternak ayam kini berdepan masalah kenaikan kos penjagaan ayam dan operasi ladang berikutan pulangan jualan di bawah modal disebabkan faktor kenaikan harga makanan ayam (dalam kontrak ternakan), tenaga buruh serta utiliti.
"Contohnya, di negeri ini, hanya tinggal kira-kira 50 peratus penternak yang masih bertahan, 40 peratus lagi menghilangkan diri dalam bidang ini dan selebihnya menyewakan ladang mereka," katanya.
Dalam pada itu, Norhayati turut menjelaskan kebanyakan penternak bumiputera juga masih menggunakan sistem tradisional iaitu reban terbuka.
Persatuan itu kini memiliki lebih 30 ahli dari pelbagai daerah dan ditubuhkan sejak lima tahun lalu dengan kapasiti keseluruhan jumlah ternakan ayam lebih 1 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!