Lawatan Ismail Sabri bukti hubungan akrab Malaysia-Brunei: Saifuddin
KUALA LUMPUR - Hubungan dua hala Malaysia dan Brunei sentiasa akrab dan terus diperkukuhkan lagi menerusi lawatan dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Brunei bermula Isnin.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi akaun Twitternya berkata, lawatan Ismail Sabri telah membantu mengukuhkan lagi kerjasama yang telah sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
"Kedua-dua negara telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama ke arah pemulihan ekonomi dan pengurusan Covid-19, termasuk mewujudkan Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) melalui udara,” ciapnya.
Pelaksanaan VTL udara dan darat serta pengiktirafan sijil vaksinasi digital MySejahtera dan BruHealth, dua perkara utama yang diputuskan semasa lawatan rasmi dua hari itu.
Perjanjian yang dicapai hasil perbincangan antara Ismail Sabri dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah itu bakal melegakan rakyat kedua-dua negara selain membantu memulihkan sektor ekonomi.
Buat masa ini terdapat lebih 25,000 rakyat Malaysia menetap di Brunei, terdiri golongan profesional, pelajar dan yang bekerja di negara ini serta rakyat Sarawak, khususnya di kawasan sempadan yang berulang-alik ke Brunei.
Lawatan rasmi Ismail Sabri ke Brunei adalah yang pertama sejak dilantik sebagai perdana menteri Ogos lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!