19 penjawat awam tolak vaksin perlu kerja seperti biasa
SEREMBAN - Seramai 19 penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan yang tidak berhasrat untuk menerima vaksin dikehendaki melaksanakan tugasan seperti biasa tanpa sebarang kelonggaran dan diskriminasi.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan berlakunya gangguan urusan pentadbiran dan pengoperasian.
Bagaimanapun katanya, mereka perlu mengambil tanggungjawab dan perhatian terhadap protokol kesihatan kendiri seperti melakukan ujian RTK-Antigen secara berkala.
"Sebelum ini kita arahkan mereka pergi bekerja tetapi dengan cara di luar kebiasaan iaitu lebih ringan dan tidak bertemu orang lain.
"Tapi ini sebenarnya menganggu urusan pentadbiran dan pengoperasian dan bermula minggu ini kita telah minta pergi bekerja dan melakukan tugasan seperti dahulu," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Menurutnya, pegawai juga diiingatkan yang sebarang risiko atau komplikasi jangkitan Covid-19 yang disebabkan oleh keengganan individu tersebut untuk menerima vaksin adalah di bawah liabiliti dan tanggungjawab individu terbabit.
Jelas Aminuddin, keputusan itu juga dibuat bagi memberi keadilan kepada penjawat awam yang sudah divaksin.
"Kita tak boleh ambil pendekatan berat sebelah yang mana sudah terima vaksin perlu bekerja teruk dan belum ambil vaksin duduk diam-diam. Itu tak adil.
"Lagi pun kita tak nampak di peringkat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) beri arahan selanjutnya apakah tindakan yang harus diambil pada mereka yang tidak mahu divaksin," katanya.
Selain itu katanya, apa yang kerajaan negeri lakukan itu bukan bermaksud menyokong penjawat awam tidak menerima vaksin kerana pelbagai usaha telah dilakukan bagi memberi galakan kepada mereka.
Aminuddin berkata, secara keseluruhan sebanyak 99.5 peratus atau 6,583 penjawat awam yang telah lengkap menerima dua dos vaksinasi.
"Seramai sembilan orang tidak menerima vaksin atas faktor kesihatan, dua orang baru menerima dos pertama dan seorang belum menerima tarikh temu janji," katanya.
"Sehingga Selasa, seramai 675 penjawat awam yang telah menerima dos penggalak, 85 menolak dos penggalak dan 137 lagi dalam pertimbangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!