MBM, Petrosains jalin kerjasama beri inspirasi kepada pelajar

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Michael Jopp mengalu-alukan para peserta semasa program Visi Elektrik Masa Hadapan.
Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Michael Jopp mengalu-alukan para peserta semasa program Visi Elektrik Masa Hadapan.
A
A
A

SHAH ALAM - Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dan Petrosains, The Discovery Centre telah menjalin kerjasama melancarkan dua bahagian dalam Virtual STEM Series bertujuan memberi inspirasi kepada pelajar di peringkat sekolah menengah dan pengajian tinggi untuk berfikir secara proaktif tentang perancangan tenaga ke arah kelestarian dan kehidupan yang lebih selamat.

Dua program yang akan bermula secara rasmi pada 15 Februari itu melibatkan program Visi Elektrik Masa Hadapan dan Mobiliti Mampan untuk Hari Esok.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden MBM, Sagree Sardien berkata, dalam dunia yang berkembang maju, masa hadapan yang mampan mesti dibayangkan dan ditentukan melalui perancangan tanggungjawab tenaga dan pembangunan secara global.

“Keperluan untuk kemajuan teknologi yang mampan kini lebih revolusioner berbanding sebelum ini di mana ia akan menentukan perjalanan hidup yang baik untuk masa hadapan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, dengan masa depan elektrik yang semakin hampir, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Petrosains bagi menjalankan siri tersebut melalui Petrosains e-Design Thinking Process (PeDTP).

“Ia dijamin dapat menyedarkan generasi muda tentang kepentingan mobiliti yang mampan dan bagaimana kita boleh mencapainya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Ezarisma Azni Mohamad berkata, kemajuan dalam penemuan tenaga dan Internet of Things (IoT) adalah usaha ke hadapan ke arah mencari penyelesaian yang mampan terhadap cara hidup dan bekerja, selaras dengan alam semula jadi serta sumbernya.

“Sebarang gangguan keseimbangan ini membawa kepada cabaran alam sekitar dan masyarakat yang secara langsung menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan serta kemampanan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

“Virtual STEM Series selaras dengan apa yang dilakukan di Petrosains iaitu untuk menginspirasi pembelajaran melalui pengalaman dalam bidang sains dan teknologi dalam kalangan anak muda sebagai sebahagian daripada usaha membina negara ke arah mendayakan tenaga kerja masa hadapan yang boleh memberi penyelesaian kepada taraf hidup yang baik dan selamat.

“Justeru, siri ini disusun khas untuk membangunkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bagi memupuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif dalam kalangan pelajar,” jelasnya.

Untuk makluman, program Visi Elektrik Masa Hadapan akan ditayangkan dengan sesi ceramah oleh pakar mengenai visi masa depan elektrik, meliputi teknologi masa depan, usaha dalam memerangi perubahan iklim dan kehidupan mampan.

Bahagian kedua siri, Mobiliti Mapan untuk Hari Esok juga akan melibatkan sesi perkongsian oleh panel pakar, diikuti dengan sesi PeDTP.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!