PRN Johor: Warisan beri bayangan bertanding solo

Shafie (empat dari kiri) bersama pimpinan Warisan Negeri Johor menggaul yee sang sebagai simbolik meraikan perayaan Tahun Baharu Cina pada majlis berkenan.
Shafie (empat dari kiri) bersama pimpinan Warisan Negeri Johor menggaul yee sang sebagai simbolik meraikan perayaan Tahun Baharu Cina pada majlis berkenan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Parti Warisan (Warisan) seperti memberi bayangan parti akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas menolak untuk menerima tawaran bersama daripada beberapa pihak.

Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, parti ada menerima tawaran daripada beberapa pihak tetapi ia bertentangan dengan apa yang Warisan mahukan iaitu menjadi alternatif lain kepada rakyat pada PRN kali ini.

“Banyak tawaran. Kita dah tahu rasa bagaimana Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan. Sudahlah dengan politik itu.

“Itu bukan pilihan rakyat, rakyat bosan dengan parti politik. Yang kita mahu dampingi adalah menentukan siapa memerintah bukan sahaja di Johor ini bahkan Malaysia dalam Pilihan Raya ke-15 (PRU15). Bukan BN bukan PH yang menentukan siapa memerintah ialah rakyat.

“Anda tidak akan dapat mengubah negara dengan ahli politik, tetapi rakyat sendiri yang boleh mengubah negara,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Warisan Negeri Johor di Sutera Utama, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Shafie memaklumkan parti juga sudah selesai mengadakan rundingan untuk kerjasama bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada PRN Johor.

Bagaimanapun, katanya, rundingan itu seperti tergantung di tengah jalan apabila Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan keputusan berbeza daripada apa yang dibincangkan.

“Kita akan lihat bagaimana keadaan dia. Sebab di peringkat awal kita ada bincang dengan Muda, beliau (Syed Saddiq) ada datang ke rumah saya sampai tengah malam tapi selepas itu esoknya dia cerita lain. Saya tidak mahu panjang.

Artikel Berkaitan:

“Sudah selesai (rundingan bersama Muda), saya cuma bincang dengan dia sahaja yang kita sediakan pilihan, sebab kita sudah nampak di PRN Melaka, rakyat sudah tolak PH, di Sarawak pun sama,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Wira Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman memberi bayangan parti itu akan menyertai PRN Johor dengan kerjasama Muda.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Muda mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan PH yang mana dua parti komponen PH iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) juga telah bersetuju menyerahkan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kepada calon Muda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!