MBPJ sedia kemudahan bilik penyusuan di klinik kesihatan
PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan satu ruangan khas bilik penyusuan di Klinik Kesihatan MBPJ.
Unit Media MBPJ dalam satu kenyataan berkata, kemudahan itu bagi membolehkan golongan ibu menyusukan serta menguruskan kelengkapan bayi dengan tenang dan selesa.
Menurut kenyataan itu, MBPJ berharap usaha tersebut dapat dijadikan contoh oleh semua pihak termasuk sektor swasta untuk melaksanakan inisiatif sama.
"Ia dapat memberikan ‘breastfeeding-friendly’ di semua tempat terutamanya di pusat beli-belah bagi kemudahan pekerja wanita dan orang awam.
"Usaha ini perlu dilihat pada sudut positif kerana golongan ibu bukan sahaja memerlukan sokongan ahli keluarga malah sokongan moral di tempat kerja bagi meningkatkan produktiviti kerja seharian," menurut kenyataan itu pada Rabu.
MBPJ berkata, penyediaan kemudahan itu juga sejajar dengan usaha pihaknya mencapai matlamat Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdayatahan 2030 PJSSR@30 ‘inclusive city’ dan ‘child friendly city’.
Pembukaan bilik penyusuan ini telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan bin Md Amir pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!