Cabaran Malaysia di Olimpik Musim Sejuk berakhir
[DIKEMASKINI] CABARAN Malaysia pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 berakhir selepas peluncur Alpine negara, Jeffrey Webb tidak berjaya meneruskan saingan dalam acara slalom lelaki di Pusat Ski Alpine Nasional Yanqing, pada Rabu.
Beliau yang muncul atlet Malaysia pertama membuat dua penampilan di temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk selepas kemunculan sulung pada edisi 2018 di PyeongChang, Korea Selatan, terjatuh pada awal saingan Run 1 menyebabkan beliau gagal untuk meneruskan acara.
Ia sekali gus menghalang Jeffrey daripada beraksi dalam Run 2 bagi mencabar kedudukan terbaik keseluruhan.
Keputusan itu menyaksikan atlet berpangkalan di Amerika Syarikat berusia 23 tahun itu mengalami nasib malang buat kali kedua berturut-turut selepas gagal menamatkan acara sama empat tahun lepas.
"Jeffrey telah berusaha sebaik mungkin namun nasib tidak memihaknya. Seharusnya kita berikan penghargaan terhadap sumbangannya mengibarkan bendera negara di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 ini.
"Kita berharap Jeffrey akan terus gigih berlatih dan bangkit kembali pada Sukan Musim Sejuk Milano Cortina 2026,” kata Chef-de-Mission (CDM) Malaysia ke Beijing 2022, Moira Tan dalam catatan di laman Facebook Olympic Council of Malaysia (OCM) pada Rabu.
Sebelum ini, atlet luncur Alpine negara, Aruwin Idami Salehhuddin yang membuat penampilan sulung di temasya itu menamatkan cabaran dalam acara giant slalom wanita dengan berada dalam kelompok 40 terbaik pada 7 Februari lepas.
Bagaimanapun, dua hari kemudian nasib tidak menyebelahi peluncur berusia 17 tahun itu dalam acara keduanya iaitu slalom wanita apabila gagal menamatkan acara selepas terjatuh pada Run 1.
Hanya dua atlet mewakili Malaysia pada temasya sukan berprestij ini yang dijadual melabuhkan tirainya 20 Februari.
Sementara itu Jeffrey menerusi video dikongsi Majlis Olimpik Malaysia kepada media menyuarakan rasa sedikit hampa selepas tidak berupaya melengkapkan saingannya dengan sempurna.
"Hari ini persembahan saya tidak sebagaimana yang diharapkan, tapi saya gembira dengan detik perjalanan, latihan yang saya lalui untuk sampai ke acara hari ini.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua terhadap kata-kata semangat dan sokongan... saya harap untuk meneruskan yang terbaik di masa hadapan,” katanya. Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!