MFL sedia bantu Perak FC

Stuart Ramalingam ketika sidang media pada Majlis Perasmian Tajaan Luno bagi Liga Malaysia di 1 Powerhouse pada Rabu. - Foto Bernama
Stuart Ramalingam ketika sidang media pada Majlis Perasmian Tajaan Luno bagi Liga Malaysia di 1 Powerhouse pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) sedia membantu Perak FC yang dikenakan sekatan pengambilan pemain baharu oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya memahami kesulitan dialami skuad The Bos Gaurus itu dan bersedia memberi pertimbangan sewajarnya termasuk ‘pengecualian’ kepada Perak FC sekiranya kuota pemain tidak mencukupi.

Beliau berkata, ini bagi memastikan pasukan itu dapat beraksi dalam musim baharu Liga Premier yang dijadual bermula 5 Mac ini supaya masa depan pasukan dan pemain tidak terkubur begitu sahaja.

Berdasarkan peraturan pertandingan, Stuart menjelaskan sesebuah pasukan perlu mempunyai minimum 20 pemain hingga jumlah maksimum 30 pemain untuk beraksi dalam kancah saingan bola sepak tempatan.

"Di dalam peruntukan, tak boleh daftar pemain baru tempatan atau luar, bermakna Perak FC terpaksa bermain dengan pemain sedia ada termasuk mereka dari Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia musim lepas.

"Kami di peringkat MFL akan bantu sejauh yang boleh untuk Perak FC,” katanya kepada pemberita selepas majlis memeterai kerjasama bersama rakan penaja baharu Liga Malaysia (Liga-M), Luno, sebuah syarikat aset digital di Malaysia.

Perak FC dikenakan hukuman oleh FIFA selepas gagal menjelaskan tunggakan hutang berjumlah RM1.7 juta yang melibatkan tuntutan gaji beberapa bekas tonggak import serta pembayaran kepada ejen pemain.

Ia melibatkan bekas pemain import mereka iaitu Jeon Hyo Seok, Leandro dos Santos dan Raianderson da Costa Morais selain turut berhutang kepada ejen Leandro dan Raianderson.

Perak FC juga berdepan kemungkinan tidak mempunyai kuota pemain yang cukup untuk bermain dalam musim baharu memandangkan jendela pendaftaran pemain baharu Liga-M akan ditutup pada 22 Februari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!