Permohonan penghakiman ingkar terhadap Lokman Adam ditolak
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar untuk memasukkan penghakiman ingkar terhadap Datuk Lokman Noor Adam berikutan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu telah memfailkan pernyataan pembelaannya pada 11 Februari lepas.
Berdasarkan dokumen mahkamah diperoleh Bernama, permohonan penghakiman ingkar itu ditolak oleh Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris pada Selasa.
Peguam Logen Eskander, yang mewakili Lokman berkata, permohonan Mohd Na’im ditolak atas alasan anak guamnya telah memfailkan pembelaan bagi menjawab tuntutan saman Ketua Hakim Syarie itu.
"Salinan pernyataan pembelaan itu telah dihantar ke pejabat Tetuan Akberdin & Co (firma guaman mewakili Mohd Na’im) pada hari sama pernyataan pembelaan difailkan (11 Februari) dan wakil daripada firma guaman tersebut menerima dokumen berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Peguam itu berkata, pihaknya juga terkejut dengan laporan media pada Selasa yang menyatakan anak guamnya gagal memfailkan pernyataan pembelaan meskipun diberi lanjutan masa sehingga 11 Februari lepas untuk berbuat demikian selain memaklumkan laporan itu tidak benar.
Pada 14 Februari lepas, Mohd Na'im selaku plaintif memfailkan permohonan penghakiman ingkar menerusi Tetuan Akberdin & Co terhadap Lokman selaku defendan kerana didakwa gagal memfailkan pernyataan pembelaan dalam tempoh yang ditetapkan.
Sementara itu, Logen berkata, mahkamah menetapkan 21 Februari ini untuk pengurusan kes saman itu manakala pendengaran injunksi inter parte (kedua-dua pihak) ditetapkan pada 22 Mac depan.
Pada 20 Januari lepas, Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memerintahkan Lokman supaya memadam kesemua hantaran berunsur fitnah membabitkan Mohd Na’im berhubung dakwaan gangguan seksual yang dimuat naik dalam Facebook dan YouTube miliknya, dalam tempoh 24 jam selepas membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan Mohd Na'im.
Dalam saman fitnah yang difailkan pada 17 Januari lepas, Mohd Na'im memohon suatu perintah injunksi supaya defendan memadam video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu.
Mohd Na’im, 54, yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada Lokman berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang Datin.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohd Na’im mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’, juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebooknya, bulan lepas.
Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin berkredibiliti dengan akhlak terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah, serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial.
Sementara itu, Lokman dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 11 Februari lepas menafikan hantaran-hantaran yang dimuat naik di laman sosial itu mengandungi perkataan yang memfitnah plaintif selain mendakwa ia merupakan komen berpatutan.
"Melalui pendedahan, keterangan, dokumentasi dan juga aduan-aduan daripada mangsa menunjukkan terdapatnya perbuatan gangguan seksual yang dibuat oleh plaintif dan berdasarkan kepada segala informasi yang diterima, saya percaya ia benar dari segi fakta. Adalah wajar untuk pihak polis atau pihak berkuasa membuat siasatan dengan segera," katanya menerusi pernyataan pembelaan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!