Pan Gon bersemangat mulakan tugas bersama Harimau Malaya
KETUA Jurulatih baharu skuad kebangsaan, Kim Pan Gon akan diperkenalkan kepada pihak media pada satu sidang media, pada Khamis.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan berusia 52 tahun itu adalah taruhan terbaharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha mengubah dan memperbaiki prestasi skuad Harimau Malaya yang kini menghuni ranking dunia ke-154.
Rata-rata penyokong bola sepak tempatan juga meraikan pelantikan Pan Gon yang menjadi jurulatih Korea Selatan pertama membimbing pasukan negara, selain teruja menantikan impak sentuhan ‘Oppa’ dalam corak permainan skuad kebangsaan.
Bagi penyokong yang menaruh harapan tinggi, mereka pasti gembira selepas mengetahui Pan Gon sudah lebih bersedia untuk memulakan tugasnya bersama pasukan negara.
Semangat berkobar-kobar Pan Gon untuk memulakan tugas itu didedahkan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar yang sering berhubung dengan bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) itu menjelang sidang media memperkenalkannya di Wisma FAM di Kelana Jaya.
"Saya belum berjumpa dia (Pan Gon) lagi kerana dia perlu menjalani kuarantin setiba di sini. Kami hanya berhubung menerusi WhatsApp sahaja, dia bercakap mengenai program-program yang akan dibuat.
"Dia memang memberikan kerjasama yang amat baik dan juga bersemangat untuk memulakan tugas. Itulah jenis orangnya. Itu menampakkan sikap profesionalnya,” kata Mohd Saifuddin ketika dihubungi Bernama pada Rabu.
Pan Gon dan barisan kejurulatihannya yang terdiri daripada jurulatih penjaga gol Cho Jun Ho, Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (penganalisis) tiba di Malaysia 11 Februari lepas dan terus menjalani kuarantin di sebuah hotel, di sini.
Sementara penolong jurulatih dari Sepanyol, Pau Marti Vicente belum tiba kerana perlu menjalani kuarantin di negaranya.
Pada sidang media esok, Pan Gon dijangka menerangkan perancangannya untuk skuad Harimau Malaya dan mengumumkan lawan yang dipilih bagi siri aksi persahabatan pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bermula dari 21 hingga 29 Mac ini.
Beliau juga dijangka memuktamadkan jurulatih tempatan pilihan yang akan dilantik sebagai pembantunya.
Pan Gon yang merupakan bekas Ketua Jurulatih Hong Kong dilantik menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya bulan lepas sebagai mengambil tanggungjawab ke atas kegagalan Malaysia di Kejuaraan Piala AFF di Singapura, Disember lepas.
Tugasan pertamanya adalah memantau prestasi pemain pada saingan Liga Malaysia 2022 yang dijadual membuka tirai dengan perlawanan sumbangsih, 26 Feb ini, sebelum mengendalikan kem latihan pusat skuad kebangsaan.
Beliau kemudian akan membimbing skuad negara untuk menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini, dalam misi menamatkan penantian lebih 40 tahun Malaysia layak secara merit ke pusingan akhir kejohanan peringkat benua itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!