'Stadium baharu tidak guna duit kerajaan negeri'
RAKYAT Kedah tidak perlu bimbang kerana pembinaan stadium baharu di Sungai Petani tidak menggunakan dana kerajaan negeri, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Jelasnya, pembinaan stadium tersebut yang memfokuskan kepada fasiliti dan padang latihan skuad Sang Kenari adalah melalui dana Kedah Darul Aman (KDA) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) yang menyediakan tapak tanah.
"Pengambilan tanah untuk pembinaan stadium telah diambil oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani namun terbiar sejak beberapa tahun lalu.
"KDA FC telah memberikan cadangan untuk membina stadium atau tempat latihan sendiri. Saya kata boleh dengan kerjasama kelab tersebut dengan MPSPK.
"Tanah milik MPSPK dan dana pembinaan pula daripada KDA FC. Mereka mempunyai cara tersendiri untuk mendapatkan dana bina stadium," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Widad K-League 2022 di Mentaloon, dekat sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas komen segelintir rakyat negeri ini di media sosial yang meminta kerajaan Kedah mengutamakan kebajikan rakyat berbanding membina stadium tersebut.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) turut memberitahu bahawa reka bentuk stadium di Sungai Petani sudah siap.
"Reka bentuknya sudah siap, sudah ada. saya sudah tengok dan sangat cantik. Ada bahagian khusus untuk KDA FC dan padang latihan, ada yang terbuka untuk orang ramai," ujarnya.
Sabtu lalu, media melaporkan Muhammad Sanusi menyatakan bahawa KDA FC optimis atas usaha untuk membina sebuah stadium baharu buat pemain sekali gus mampu meletakkan mereka sebaris JDT.
Stadium berkenaan yang akan dibina di Sungai Petani tidak lama lagi itu bakal menyediakan pelbagai kemudahan dan akan menjadi pusat latihan pemain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!