Jawatankuasa Bebas Audit Daftar Pemilih perlu ditubuhkan
SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas Audit Daftar Pemilih bagi menyemak dan mengaudit daftar pemilih.
Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan penting bagi memastikan integriti daftar pemilih tidak meragukan.
"Terutamanya dengan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik (PPSA) dan Undi 18 yang menyaksikan pertambahan pengundi sebanyak 5.8 juta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 21.1 juta pemilih.
"Jawatankuasa Audit Daftar Pemilih ini perlu melibatkan semua pihak termasuklah pembangkang, pakar pilihan raya dan pertubuhan masyarakat sivil," menurut satu kenyataan dikeluarkan pada Rabu.
Kenyataan itu susulan laporan media berhubung kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang mempersoalkan nama yang meragukan berada dalam senarai daftar pemilih tambahan (DPT).
Dalam kenyataan itu, Fuziah mempersoalkan dua nama yang pelik seperti 'Deseased' dan 'Expired' yang yang digunakan sebagai nama pemilih dan kebetulan kedua-duanya daripada Johor.
Sehubungan itu, Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melakukan siasatan bagi perkara yang dibangkitkan.
"Pihak SPR juga perlu lebih teliti dalam memastikan nama-nama yang dimasukkan ke dalam senarai daftar pemilih adalah nama yang sahih dan tidak meragukan.
"Kebersihan senarai daftar pemilih adalah asas utama kepada pelaksanaan pilihan raya yang bersih dan adil.
"Keyakinan pengundi kepada integriti senarai daftar pemilih amat penting supaya proses dan keputusan pilihan raya dapat diterima oleh semua pihak," menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!