VTL darat untuk kenderaan persendirian sedang dibincang

Buat masa ini tiada kenderaan persendirian dibenarkan melalui darat antara kedua-dua negara kecuali bas awam. - Foto Bernama
Buat masa ini tiada kenderaan persendirian dibenarkan melalui darat antara kedua-dua negara kecuali bas awam. - Foto Bernama
A
A
A

SINGAPURA - Singapura sedang berbincang dengan Malaysia mengenai memperluaskan pengaturan Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) darat untuk kenderaan dan koc persendirian, kata pengerusi bersama Pasukan Petugas Covid-19 Pelbagai Kementerian (MTF) republik itu, Gan Kim Yong.

Buat masa ini tiada kenderaan persendirian dibenarkan melalui darat antara kedua-dua negara kecuali bas awam.

"... apabila kami bersedia kami akan membuat pengumuman yang perlu dan sesuai,” kata Kim Yong yang juga Menteri Perdagangan dan Industri, pada sidang media maya di sini pada Rabu.

MTF ditanya bilakah kenderaan persendirian dibenarkan masuk ke kedua-dua negara.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, S Iswaran berkata, Singapura akan memperdalam dan memperluaskan VTL dengan negara jiran ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

"Kami sedang dalam perbincangan lanjut untuk memperluas VTL ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu. Kami menanti untuk melancarkannya tidak lama lagi,” katanya pada sidang media yang sama.

Singapura telah memulakan VTL melalui udara dan darat dengan Malaysia mulai 29 November tahun lepas.

Selain itu, Singapura juga akan memperkemaskan langkah-langkah sempadannya untuk VTL yang akan menyaksikan, antara lain, Pemegang Pas Jangka Panjang tidak lagi perlu memohon Pas Perjalanan Bervaksin (VTP) atau Kebenaran Kemasukan untuk ke Singapura, mulai 22 Februari 2022.

Artikel Berkaitan:

Perkara lain termasuk keperluan sejarah perjalanan akan dikurangkan daripada 14 kepada 7 hari, protokol ujian 7-Hari yang dipertingkatkan akan dihentikan dan pengembara VTL tidak perlu lagi melakukan ujian Tindak Balas Rantaian Polimerase (PCR) semasa ketibaan.

Sementara itu, tempoh Notis Duduk Rumah (SHN) akan diseragamkan kepada tujuh hari untuk semua kategori negara/rantau berisiko memandangkan tempoh inkubasi Omicron yang lebih pendek.

Bagi memudahkan perjalanan bervaksin, republik itu akan membenarkan semula dan meningkatkan kuota VTL secara berperingkat.

Kuota VTL udara akan dibenarkan sepenuhnya berkuat kuasa serta-merta manakala kuota darat mulai 22 Februari 2022.

Penjualan tiket bas dan penerbangan untuk VTL darat dan udara yang digantung sementara pada 23 Disember lalu akan dibuka semula pada 21 Januari.

Bagaimanapun, kuota untuk tiket bas dan penerbangan dikurangkan sebanyak 50 peratus berbanding kapasiti sedia ada bagi laluan darat dan udara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!