Tertunggu-tunggu apa cerita dos keempat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan bukanlah orang yang antivaksin. Menyahut seruan kerajaan, Merak Jalanan sudah pun melengkapkan dua dos vaksin tahun lalu dan satu dos penggalak, Januari lepas.

Walaupun sebelum ini dos penggalak diuar-uarkan sebagai suntikan untuk individu dengan penyakit komorbid, namun akhirnya ia menjadi ‘wajib’ baru-baru ini.

Memanglah Tok Menteri tidak menyebut perkataan ‘wajib’ tapi bila sudah diugut sijil vaksin akan bertukar warna, mahu atau tidak, kena faham-fahamlah sendiri. Jika berdegil, susahlah hendak keluar minum di kedai kopi atau terbang bercuti ke Langkawi.

Tapi bukan dos penggalak atau dos vaksin ketiga yang Merak Jalanan mahu fokuskan di sini. Sebab dos itu sudah pun jatuh wajib dan perlu diambil.

Di beberapa negara luar, nampaknya kerajaan mereka sudah pun bergerak memberi suntikan dos penggalak kedua atau vaksin keempat kepada rakyat mereka.

Korea Selatan misalnya, telah memulakan dos keempat untuk rakyatnya bulan ini.

Sweden juga dilaporkan telah bersedia untuk memberikan suntikan vaksin keempat tersebut.

Semua itu kerana dilaporkan keberkesanan dos vaksin akan semakin berkurang selepas satu tempoh masa tertentu.

Artikel Berkaitan:

Apatah lagi dengan peningkatan kes positif varian Omicron, maka suntikan keempat juga dikatakan penting untuk tingkatkan imuniti.

Merak Jalanan tak pasti bila Malaysia akan laksanakan suntikan keempat tetapi ramai juga yang agak sinikal dengan dengan dos demi dos vaksin ini.

Dahulu, dikhabarkan kita perlu mencapai imuniti kelompok sehingga 80 peratus untuk mengekang wabak Covid-19. Kemudian dos ketiga diperlukan sebab keberkesanan vaksin merosot selepas enam bulan.

Jika begitu ceritanya, lantas ramai yang tertanya, adakah akan ada dos keempat, kelima, keenam dan ketujuh selepas ini?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!