Biar ASTAF pilih PSM atau MSC

Laporan Sukan Sinar pada Selasa. (Gambar kanan: Ibrahim)
Laporan Sukan Sinar pada Selasa. (Gambar kanan: Ibrahim)
A
A
A

PEJABAT Pesuruhjaya Sukan (PJS) menyangkal dakwaan kelulusan diberikan kepada penubuhan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) bertujuan memecahbelahkan komuniti sepak takraw negara.

Sebaliknya menurut Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof, lampu hijau yang diberikan kepada penubuhan satu lagi entiti baharu sepak takraw adalah sebagai langkah awal dan bertujuan bagi memastikan badan induk sepak takraw negara dapat kembali ke peringkat antarabangsa selepas Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) disingkirkan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

“Saya tidak nafikan apabila ada dua badan induk sepak takraw akan timbul persoalan entiti mana yang bertanggungjawab mengemudi sukan tersebut, namun saya yakin perkara ini akan selesai. Apa jua tindakan selepas ini adalah berdasarkan peraturan dan perundangan yang berkuatkuasa.

“Namun di sini saya nafikan bahawa kelulusan yang diberikan kepada Konfederasi Sepaktakraw Malaysia bertujuan memecahbelahkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan keluarga sepak takraw negara ini.

“Saya menghormati pandangan Tan Sri Mohd Yusoff Latiff namun, kita perlu berfikiran terbuka dan realistik, asas kita sebenarnya jelas adalah untuk memastikan kesinambungan sukan sepak takraw negara ini dapat diterima kembali di peringkat antarabangsa. ASTAF telah menyatakan dengan tegas, mempunyai hak untuk tidak mempertimbangkan permohonan PSM untuk menjadi ahli gabungan.

“Biarpun begitu, kata putus sekarang terletak kepada pertimbangan ASTAF sama ada untuk menerima kembali PSM atau mengiktiraf MSC sebagai ahli gabungan, seterusnya mewakili Malaysia menerajui sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa dan sebagai badan induk kebangsaan Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Sukan Sinar pada Selasa melaporkan kekecewaan pengasas PSM, Tan Sri Mohd Yusoff Latiff menyifatkan tindakan PJS meluluskan penubuhan entiti itu sebagai tidak wajar memandangkannya masih belum diiktiraf ASTAF mahupun ISTAF.

Pada masa sama, Mohd Yusoff menegaskan penubuhan MSC yang diluluskan PJS disifatkan sebagai satu tindakan yang kurang bijak dalam mengakhiri kemelut berpanjangan sukan sepak takraw negara.

Artikel Berkaitan:

Tegas Mohd Yusoff, PJS sepatutnya menjalankan tugas untuk menyatupadukan semua pihak yang terlibat dalam sukan sepak takraw ini dan bukannya memecahbelahkan dalam kalangan mereka dengan meluluskan entiti baharu itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!