Buang bayi: Perlu undang-undang lebih berat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Hukuman lebih setimpal perlu dikenakan ke atas pelaku buang bayi memandangkan trend jenayah ini masih berleluasa.

Pandangan ini diutarakan oleh Pensyarah Kanan Kerja Sosial dan Pembangunan Komuniti, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr Samir Muhazzab Amin berdasarkan pertambahan kes yang dilaporkan setiap tahun.

Menurut beliau, di Malaysia, Akta Kanun Keseksaan (302, 574), Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Mahkamah Syariah (355) adalah antara akta yang boleh disabitkan kepada pelaku.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984)(Akta 355) mengehadkan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan undang-undang berkaitan jenayah Syariah.

"Undang-undang perlu dikuatkuasakan dengan lebih serius bagi membendung ‘barah’ yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Contohnya, di bawah Enakmen Jenayah Syariah di Malaysia, masih belum terdapat hukuman berat yang dijatuhkan bagi kesalahan pembuangan bayi.

"Dengan peningkatan kes itu setiap tahun, sudah tiba masanya transformasi undang-undang yang berkaitan terutamanya perundangan syariah di Malaysia dilakukan. Hukuman lebih berat perlu dilaksanakan kepada pelaku yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kes pembuangan bayi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau turut berkongsi bahawa hukuman paling tinggi yang boleh dikenakan terhadap pesalah khalwat, berzina atau bersekedudukan menurut Enakmen Jenayah Syariah negeri adalah dengan tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali atau kedua-duanya sekali.

Tindakan penguatkuasaan Syariah di Malaysia lebih kepada pencegahan kerana peruntukan kesalahan buang bayi atau menyembunyikan kelahiran tidak diperuntukkan di bawah Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah.

"Dalam konteks Kanun Keseksaan hukuman yang lebih berat dikenakan. Kerajaan Malaysia telah meletakkan kes pembuangan bayi disiasat sebagai ‘kes bunuh atau cubaan membunuh’ yang boleh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati. Bagi kes cubaan membunuh pula disiasat di bawah Seksyen 307 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, ” katanya.

Pendidikan seks lebih komprehensif

Artikel Berkaitan:

Dalam isu buang bayi, suspek akan memberikan pelbagai alasan klise seperti mengandung anak luar nikah, takut dimarahi keluarga, masalah kewangan atau malu serta belum bersedia.

Sebahagian besar pasangan yang terlibat dalam kes buang bayi ini dilaporkan terdiri daripada golongan remaja yang secara tidak langsungnya mencerminkan tahap kecelaruan masalah sosial dalam kelompok berkenaan.

Menurut Samir Muhazzab lagi, dalam zaman ledakan teknologi kini, satu usaha yang boleh diusahakan bagi membendung jenayah buang bayi adalah pendidikan seks yang lebih komprehensif.

"Data menunjukkan insiden golongan remaja merupakan kelompok majoriti yang sering terlibat dalam masalah pembuangan bayi, berpunca daripada kehamilan luar nikah. Masyarakat sering melihat dan menuding jari kepada sebelah pihak sahaja. Naratifnya golongan wanita atau remaja perempuan sering kali dilabelkan sebagai pesalah kepada masalah yang berlaku.

"Pada hakikatnya masalah ini berpunca daripada dua pihak pelaku, iaitu remaja lelaki dan perempuan. Namun apabila berlaku kehamilan di luar nikah, golongan remaja wanita ini akhirnya bersendirian. Mereka bersendirian memilih jalan penyelesaian yang serba terhad dan kekurangan. Golongan ini tidak mendapat akses sokongan psikologi daripada ahli keluarga dan rakan-rakan disebabkan oleh salah laku yang sedang ditanggung," tegasnya.

'Baby hatch', peti perlindungan bayi

Dalam keadaan yang meruncing ini, beliau berpandangan, pendidikan seks yang bersifat lebih komprehensif perlu dilaksanakan meliputi aspek mencegah daripada berlaku, perkhidmatan dan sokongan apabila masalah itu telah berlaku dan aspek pembetulan supaya kefungsian sosial remaja yang terlibat dapat diteruskan.

Beliau berkata, mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan tempat khas untuk ‘membuang’ bayi yang dikenali sebagai ‘baby hatch’ (peti perlindungan bayi).

Antara yang menyediakan perkhidmatan ini adalah adalah Yayasan OprhanCare yang dimulakan pada tahun 2010.

Beliau menambah, konsep ‘baby hatch’ ini wujud di dunia Barat semenjak kurun ketujuh lagi bagi menjaga bayi yang dibuang dan ditinggalkan.

"Baby hatch ini sangat diperlukan dalam situasi Malaysia hari ini yang menunjukkan peningkatan insiden pembuangan bayi. Sehingga hari ini hampir setiap negeri mempunyai 'baby hatch', tetapi ramai tidak sedar akan kewujudan tempat ini," katanya.

Tidak berniat mahu menggalakkan perbuatan seks luar nikah serta mencetuskan salah faham masyarakat, Samir Muhazzab berkata, sebagai ahli akademik, beliau melihat aspek pendidikan dan pengetahuan adalah perkara utama yang perlu diberikan penekanan.

"Sesuatu kemudaratan itu tidak boleh dibiarkan berterusan. Kita perlu ke hadapan untuk mengurangkan kemudaratan daripada dibiarkan menjadi barah," katanya dan menambah ibu bapa perlu lebih proaktif dalam menangani isu sosial terutamanya masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja.

Peranan ibu bapa dan masyarakat

Menurut Samir Muhazzab, ibu bapa perlu lebih bersikap terbuka membincangkan perkara berkaitan dengan pendidikan seks dengan serta memberi penekanan berkenaan batas pergaulan antara anak lelaki dan perempuan.

Ibu bapa juga, kata beliau, perlu mengetahui cara dan kaedah mengawal akses kanak-kanak kepada bahan internet dan sosial media yang tidak sihat.

Dalam hal yang sama, beliau turut menekankan peranan masyarakat yang perlu memainkan peranan yang lebih agresif bagi membantu menangani penyakit sosial yang tiada belum berkesudahan ini.

"Peranan serta tanggungjawab untuk menangani masalah ini tidak boleh sepenuhnya diletak kepada bahu kerajaan semata-mata. Masyarakat perlu berani untuk menegur dan mendidik golongan remaja daripada terlibat dalam masalah sosial serius ini.

"Masyarakat perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan pencegahan yang pantas dan sewajarnya," tambahnya.

Menyentuh soal psikologi terhadap si ibu yang tergamak melakukan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ke atas bayi yang dilahirkan itu, Samir Muhazzab berkata, kesan yang dialami si pelaku biasanya akan berlarutan untuk tempoh lama malah sehingga hayat mereka.

"Antara kesan yang sering berlaku ialah kemurungan, hilang keyakinan diri, emosi yang tidak stabil dan tidak lagi mampu memberi fokus kepada kehidupan seharian mereka.

"Kajian mengesahkan masalah pembuangan bayi ini mendatangkan kesan teruk kepada pelaku dan juga keluarga pelaku. Secara psikologi dan sokongan sosial mereka ini boleh dikatakan hilang kesemuanya. Ada di antara mereka diberhentikan sekolah, disisihkan oleh rakan dan keluarga yang tidak dapat menerima perbuatan yang dilakukan itu," katanya.

Fikirkan masa depan bayi

Sementara itu, Pentadbir Projek di Yayasan OrphanCare, Nur Azim Alia Mohamed Noor (SHE) memberitahu Bernama, golongan tidak mampu menjaga anak mereka agar yang terlanjur agar memikirkan nasib dan masa depan bayi mereka dan tidak terus bertindak melulu membuang bayi itu.

"Saya nasihatkan kumpulan yang terlanjur ini pergilah ke saluran sepatutnya. Pandang dan lihatlah ke arah bayi itu, masa depan bayi mereka. Kita yang dewasa ini sudah tahu apa kita akan buat selepas ini, tetapi bayi? Apakah nasibnya.

"Apa yang berlaku itu adalah tanggungjawab kita sendiri. Lebih baik kita rasa bersalah untuk tempoh seketika dan bukan untuk seumur hidup," katanya, menambah lebih baik bayi diselamatkan serta membesar dengan sihat daripada dibuang yang berkemungkinan menyebabkan bayi itu mati.

Menurut Nur Azim Alia, Yayasan OrphanCare sangat prihatin dalam membantu menurunkan kes pembuangan bayi di negara ini dengan mewujudkan tempat pelindung bayi (baby hatch).

"Kes buang bayi sentiasa membimbangkan, biarpun sudah ada tempat pelindung bayi, kes masih lagi berlaku. Faktor kepada terus berlaku kemungkinan stigma masyarakat yang masih takut untuk datang ke sini (Yayasan OrphanCare) dan tidak ada pengetahuan mendalam mengenai tempat ini," katanya.

Beliau berkata, ramai yang berpandangan 'baby hatch' adalah tempat pembuangan bayi, namun sebenarnya tidak kerana fungsi tempat itu adalah untuk melindungi bayi.

"Sekiranya si ibu meletakkan bayi mereka di tempat pelindung bayi, si ibu berkenaan tidak dianggap melakukan jenayah dan tidak akan didakwa. Selain itu ia turut memudahkan si kecil itu didaftarkan sebagai warganegara jika terdapat maklumat dan dokumen waris yang ditinggalkan," katanya.

Sejak dibangunkan pada 2010, Yayasan OrphanCare mempunyai tiga cawangan dengan peti pelindung bayi iaitu di Petaling Jaya (Selangor), Johor Bahru (Johor) dan Sungai Petani (Kedah).

Nur Azim Alia berkata, sehingga kini yayasan itu telah menyelamatkan nyawa 461 bayi termasuk lima bayi pada awal tahun ini.

Mereka yang memerlukan maklumat lanjut mengenai khidmat Yayasan OrphanCare boleh menghubungiboleh menghubungi talian 010-283 0528 atau website: orphancare.org.my. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!