Empat fokus utama perlu diberi perhatian penjawat awam

Mohd Shafiq
 - Foto Bernama
Mohd Shafiq
 - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu dilantik, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah menekankan empat fokus utama yang perlu diberikan perhatian oleh perkhidmatan awam.

Menurutnya, ia bagi memastikan perkhidmatan awam terus kekal relevan dalam mendepani pelbagai perubahan dan cabaran masa depan.

"Untuk perkhidmatan awam menjadi organisasi yang terus kekal relevan, saya ingin mengajak semua penjawat awam bersama-sama mencipta sejarah baharu berlandaskan empat fokus utama iaitu, menyegar semula penjawat awam, landskap baharu organisasi awam, perkhidmatan awam kalis masa hadapan dan bergerak bersama ke hadapan," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan awam perlu melangkah lebih jauh dengan membangunkan jenama yang tersendiri selaras dengan trend global semasa.

"Kita patut menjadi lebih proaktif dan berupaya meramalkan apa yang akan berlaku serta melakukan persediaan sewajarnya.

Beliau berkata, adalah tidak wajar sekiranya penjawat awam bersifat reaktif dan bertindak hanya apabila sesuatu masalah muncul.

"Saya amat mengharapkan kita sama-sama dapat merealisasi perkhidmatan awam sebagai sebuah organisasi yang dinamik serta bersifat pemudah cara dan bertindak mengurangkan parameter birokrasi serta rigidity," katanya berucap pada Perhimpunan Khas Amanat Datuk Seri KPPA 2022 pada Khamis.

Mohd Shafiq berkata, supaya organisasi awam terus kekal relevan, penjawat awam hendaklah mempunyai daya ketahanan yang tinggi, anjal, tangkas, dan berinovasi.

"Sifat-sifat ini mestilah dilengkapkan dengan nilai integriti yang tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, warga penjawat awam hendaklah berpaksi kepada rakyat dan berfikiran realistik serta sentiasa bersedia untuk menyelesaikan pelbagai masalah merentas kementerian dan agensi demi kesejahteraan rakyat.

"Justeru, amalan ini akan dapat meningkatkan nilai tambah dan produktiviti perkhidmatan awam dan meningkatkan kepercayaan rakyat," katanya.

Menurutnya, ketua jabatan hendaklah sentiasa meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan proses rekayasa.

"Fungsi yang tidak lagi relevan hendaklah dijumudkan bagi membolehkan kita melaksanakan perkhidmatan dengan lebih berkesan berpaksikan objektif penubuhan organisasi itu sendiri," katanya.

Pembangunan pekeliling dan peraturan katanya perlu dilaksanakan dengan lebih berhemah dan menyeluruh mengambil kira input dan pandangan terutamanya daripada pemegang taruh peraturan berkenaan.

"Malahan semua pekeliling sedia ada perlu segera dikaji semula sama ada masih boleh dilaksanakan dalam perspektif semasa," katanya.

Tambah Mohd Shafiq, sesi libat urus yang dilaksanakan di peringkat awal pembangunan dasar akan dapat memastikan tidak timbul sebarang isu selepas dasar itu diperkenalkan.

Menurutnya, masa hadapan yang tidak menentu dengan cabaran berkaitan ketidakstabilan ekonomi global, ageing society, penularan wabak pandemik, perubahan demografi, ancaman perubahan iklim tidak boleh dinafikan.

"Jadi, dalam menghadapi cabaran-cabaran ini, kita hendaklah bersiap siaga dan membuat persediaan rapi dari sekarang melalui platform perkhidmatan yang kukuh, holistik dan kalis masa hadapan," katanya.

Kata Mohd Shafiq, perkhidmatan awam masa hadapan perlu bersifat dinamik dan responsif terhadap keperluan rakyat dan negara.

"Kita tidak mahu ada yang tertinggal dalam melakukan lonjakan berganda terhadap ekonomi dan kesejahteraan negara ini," katanya.

Sekiranya penjawat awam tampil dengan sikap tidak peduli terhadap kepentingan melaksanakan perubahan atau transformasi, perkhidmatan awam akan terjejas.

"Kita sebenarnya telah culas dalam melaksanakan amanah, katanya.

Mohd Shafiq dilantik sebagai KPPA berkuasa kuasa 10 Februari lalu bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan oleh Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang bersara pada 16 Januari lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!