Liverpool ‘belum selamat’
PENGENDALI Liverpool Jurgen Klopp menyifatkan skuad kendaliannya itu masih ‘belum selamat’ biarpun menewaskan Inter Milan 2-0 pada aksi pertama saingan kalah mati Liga Juara-Juara pada Khamis,
Menurutnya, kesebelasan The Reds itu dilihat masih dalam ‘bahaya’ menjelang kunjungan skuad I Nerazzurri itu perlu mempamerkan aksi terbaik bagi menjamin kemenangan pada aksi kedua kalah mati di Anfield 9 Mac depan.
“Kita (Liverpool) sebenarnya masih belum selamat kerana kami sendiri tidak merasakan bahawa kami sudah boleh mengatakan yang pasukan ini sudah ‘sebelah kaki’ ke suku akhir.
“Oleh itu, kesemua pemain diingatkan untuk bersedia secukupnya menjelang aksi kedua nanti kerana Inter adalah sebuah pasukan yang bagus dan mampu mencipta kejutan,” katanya.
Pada aksi pertama kalah mati berkenaan, duo berbisa The Reds, Roberto Firmino dan Mohamed Salah masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-75 dan min-83 bagi menjamin kemenangan.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Liverpool memiliki sedikit kelebihan dengan membawa kelebihan jaringan di tempat lawan.
Sementara itu Klopp berkata, dia berpuas hati dengan aksi mantap dipamerkan pemain Liverpool pada perlawanan berkenaan, terutamanya di benteng pertahanan.
Menurut Klopp, benteng pertahanan The Reds yang diterajui Virgil Van Dijk dan Ibrahima Konate berjaya membentuk ‘tembok kukuh’ hingga menyukarkan jentera serangan Inter untuk menembusinya.
“Pada perlawanan ini, kita telah bertahan dengan cukup baik selain sentiasa berjaya memenangi bola biarpun menerima asakan yang tidak henti-henti daripada jentera serangan lawan.
“Semoga aksi seperti ini berterusan dan menjadi lebih mantap sebagai persediaan bagi mengharungi aksi kedua kalah mati kelak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!