Tindakan kerajaan tepat lagi wajar

Ismail Sabri sentiasa memastikan kebajikan dan masa depan frontliner diberikan perhatian yang sewajarnya.
Ismail Sabri sentiasa memastikan kebajikan dan masa depan frontliner diberikan perhatian yang sewajarnya.
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah kerajaan menambah baik Sistem Penjagaan Kesihatan Keluarga Malaysia dengan mewujudkan 8,686 perjawatan tetap untuk pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tempoh 2022 sehingga 2025 adalah tindakan tepat lagi wajar.

Daripada jumlah itu, 4,186 jawatan tetap tambahan akan diwujudkan di KKM pada tahun ini membabitkan 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

Keputusan ini jelas membuktikan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob telah menepati janjinya bagi menghargai usaha dan pengorbanan golongan frontliners yang bertungkus-lumus memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan negara dan keluarga Malaysia.

Khabar gembira itu tidak terhenti di situ sahaja apabila sekurang-kurangnya, 1,500 lagi jawatan tetap diberikan setiap tahun mulai tahun depan sehingga 2025 serta 800 jawatan tetap untuk pakar perubatan setiap tahun bermula 2023.

Jemaah Menteri juga telah bersetuju dengan pelan hala tuju yang sedang dibangunkan membabitkan agensi dan kementerian berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam kemelut berhubung pegawai lantikan kontrak ini.

Koh Kah Chai
Koh Kah Chai

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kah Chai berkata, ia umpama sinar di hujung terowong selepas perjuangan pelbagai pihak untuk memastikan pembelaan terhadap doktor kontrak.

Artikel Berkaitan:

“Ini sememangnya berita yang ditunggu-tunggu. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana memastikan isu ini ditangani dengan baik dan memberikan perjawatan tetap kepada 8,686 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

“Kami juga mengalu-alukan pengumuman KKM mengenai penambahan 800 jawatan tetap untuk pakar setiap tahun. Kami berharap lebih banyak jawatan pakar akan ditambah ke arah sasaran mempunyai lebih daripada 18,000 pakar di negara ini menjelang 2025,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, MMA optimis bahawa isu doktor kontrak akan dapat diselesaikan sepenuhnya terutama dengan komitmen yang telah ditunjukkan oleh kerajaan.

“Sudah tentu, ia memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan semua isu. Bagaimanapun, kami percaya pendekatan komprehensif dan inklusif yang ditunjukkan oleh KKM, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Kami juga melihat penglibatan yang berkesan dengan pihak berkuasa akan menjadi sangat penting untuk menyelesaikan banyak isu,” jelasnya.

Langkah positif

Dr Ng Baskaran
Dr Ng Baskaran

Sementara itu, bekas Presiden MMA, Datuk Dr Ng Baskaran memberitahu, pengumuman itu membuktikan kerajaan mendengar keluhan pegawai perubatan yang sebelum ini berharap agar mereka diberikan lantikan tetap jawatan.

“Pengumuman ini sudah tentu satu perkara yang menggembirakan doktor perubatan, doktor gigi dan farmasi. Ia sudah lama ditunggu sejak 2016 lagi.

“Ia juga membuktikan kerajaan faham dengan keluhan doktor-doktor kontrak yang sudah memberikan perkhidmatan terbaik terutama ketika negara dilanda Covid-19,” katanya.

Dr Baskaran turut melihat ia langkah positif oleh kerajaan sekali gus memastikan lebih banyak jawatan tetap ditawarkan kepada pegawai perubatan.

“Ini permulaan baharu jawatan tetap ditawarkan mulai 2022 sehingga 2025 walaupun ada sekitar 23,000 doktor menunggu jawatan tetap. Saya harap ia akan diteruskan lagi dan bukan hanya sehingga 2025 kerana akan lebih ramai pelajar perubatan baharu menghabiskan pengajian mereka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak rugi untuk memberikan lebih banyak jawatan tetap kepada doktor dan ahli farmasi kerana bidang kesihatan adalah menjadi keperluan setiap masa.

Hak sama rata

No Image Caption

Bagaimanapun, beliau memahami kekangan kewangan yang mungkin dihadapi kerajaan untuk melantik lebih ramai doktor dan ahli farmasi dalam jawatan tetap.

Beliau berkata, kerajaan mungkin boleh mengambil inisiatif memastikan hak sama rata doktor kontrak daripada segi kebajikan seperti cuti dan elaun yang dinikmati oleh doktor yang berjawatan tetap.

“Saya melihat keperluan untuk kerajaan menambah perjawatan tetap apabila ekonomi negara sudah kembali stabil. Namun, jika tidak dapat, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan hak sama rata daripada segi kebajikan doktor kontrak dan doktor tetap,” jelasnya.

Sistem kesihatan

Dr Malina
Dr Malina

Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Awam Prof Madya Dr Malina Osman berkata, keputusan kerajaan ini memberikan peluang kepada doktor muda selain memastikan sistem kesihatan di negara ini dapat diperkukuhkan.

"Ini satu langkah yang baik daripada kerajaan untuk kebaikan doktor muda dan juga masa depan mereka. Malah, tindakan kerajaan ini juga boleh menjadi satu persediaan dalam menghadapi pelbagai kemungkinan pandemik pada masa akan datang.

"Mungkin dalam keadaan biasa kita perlu jumlah tertentu pegawai perubatan, tetapi dalam konteks untuk menghadapi masa depan, mungkin jumlah yang diperlukan akan menjadi berbeza," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Malina juga berharap perjawatan tetap yang ditawarkan itu tidak hanya terhad kepada tempoh tertentu sebaliknya perlu disambung untuk satu tempoh masa yang panjang.

“Saya juga memohon agar Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat merujuk kepada pelan pembangunan negara terutama untuk keperluan doktor di negara ini,” tambahnya.

Untuk rekod, 1,118 pegawai perubatan, 1,019 pegawai pergigian dan 1,288 pegawai farmasi dilantik secara tetap sepanjang 2016 hingga tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!