Pegawai khas ADUN ditipu pinjaman tidak wujud

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

JEMPOL- Seorang pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengalami kerugian RM9,345.92 selepas dipercayai ditipu oleh sindiket pinjaman tidak wujud.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa seorang lelaki berusia 52 tahun mendapat maklumat berhubung pinjaman berkenaan di laman sosial Instagram pada Selasa lepas.

"Dia ingin membuat pinjaman sebanyak RM10,000 kemudiannya berurusan dengan dua ejen pinjaman dikenali sebagai Tony 011-17856169 dan Daniel Heng 011-72212382 melalui aplikasi WhatsApp.

"Percaya dengan urusan yang dijalankan mangsa telah diminta untuk melakukan bayaran disebabkan 'scoring' akaun bank mangsa tidak layak untuk melakukan pinjaman," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Chang Hook berkata, mangsa membuat pembayaran sebanyak RM9,345.92 untuk menguruskan akaun bank tersebut termasuk bayaran cukai bagi meluluskan pinjaman di tiga akaun berbeza atas nama Sapiah Mohd Yusof, Vynielly Deli dan Jordan Choo Tai Syn.

"Bagaimanapun, mangsa masih lagi diminta untuk melakukan bayaran tambahan untuk meluluskan pinjaman ini. Menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis pada Rabu," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Chang Hook berkata, seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun juga mengalami kerugian RM1,950 selepas ditipu dengan tawaran pembelian sebuah komputer riba di Instagram.

"Dia melihat iklan jualan komputer riba itu pada 2 Februari lepas bernilai RM1,950 lalu berurusan dengan seorang lelaki dan barang itu akan sampai dalam masa dua hari sekiranya pembayaran penuh di buat.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa bersetuju dengan tawaran berkenaan lalu membuat pembayaran dalam sebuah akaun bank atas nama Viknesh Chandran sebanyak RM1,400 pada 3 Februari secara dalam talian seterusnya RM550 pada 9 Februari atas nama K Prabu.

"Sehingga ke hari ini mangsa tidak menerima komputer riba seperti mana yang di janjikan malah lelaki berkenaan juga gagal dihubungi. Hasil Siasatan awal nombor akaun yang digunakan mempunyai rekod penglibatan penjenayah penipuan," ujarnya.

Tambahnya, mangsa membuat laporan polis pada Rabu kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!