Calon SPM hanya mampu terlantar diserang saraf mengejut
PASIR MAS - Luluh hati seorang ibu apabila melihat anak sulung yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2 Mac ini hanya mampu terlantar di atas katil selepas diserang penyakit saraf pada Disember tahun lalu.
Lebih memilukan hati Suriana Mat Hussin, 45, apabila anaknya, Husna Shafieqa Husni Hanafi, 18, merupakan tonggak keluarga serta contoh kepada dua lagi adiknya iaitu Muhammad Haneef Hidayat, 11, dan Muhamad Hasrul Haikal, 16.
Suriana berkata, sejak diserang penyakit saraf itu anaknya sudah tidak dapat mengikuti pembelajaran secara bersemuka seperti pelajar-pelajar SPM yang lain.
"Dia kini terpaksa mengikuti pengajian secara dalam talian menggunakan telefon. Alhamdulillah, walaupun terpaksa menggunakan telefon Husna Shafieqa mendapat sokongan penuh daripada guru-guru dan rakan-rakan yang banyak memberikan semangat serta tunjuk ajar," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kedondong, di sini pada Khamis.
Menurutnya, anak sulung dari tiga beradik itu mula diserang penyakit saraf apabila tidak dapat bangun pagi seperti biasa dan situasi tersebut berterusan sehingga hari ini.
Katanya, susulan itu Husna Shafieqa telah mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan doktor mengesahkan dia menghidap penyakit saraf.
Suriana berkata, disebabkan itu suami Husni Hanafi Abu Kasim, 44, telah kehilangan pekerjaan apabila terpaksa memberikan tumpuan penuh untuk menjaga Husna Shafieqa selepas dia tidak dapat duduk, mahupun berdiri seperti biasa.
"Bagaimanapun suami kembali bekerja sebagai pemandu lori bulan lepas untuk menyara keluarga serta dua lagi anak yang masih bersekolah selain Husna Shafieqa.
"Pendapatan suami tidak menentu kerana turut menghadapi masalah kesihatan. Alhamdulillah saya menerima bantuan berjumlah RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jadi dapatlah menampung perbelanjaan sekolah anak-anak," katanya.
Sementara itu, Husna Shafieqa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban berkata, pada peringkat awal situasi itu membuatkannya hampir berputus asa.
"Namun hasil sokongan padu keluarga, rakan-rakan dan guru-guru membuatkan saya makin bersemangat untuk menduduki SPM.
"Saya akan memberikan yang terbaik pada peperiksaan SPM nanti walaupun terpaksa menjawab peperiksaan dalam keadaan meniarap," katanya yang mendapat keputusan 5A pada peperiksaan percubaan SPM lalu.
Menurutnya, setiap hari dia berdoa agar diberikan semangat dan kesembuhan bagi meneruskan cita-cita bergelar seorang jururawat.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Suriana Mat Hussin di 03501-41-00005768-4.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!