JKNT keluar 1,949 notis merokok di kawasan larangan
KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan 1,949 notis kepada individu atas kesalahan merokok di kawasan larangan dalam operasi diadakan di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, notis 32b di bawah peraturan 11(1) dan 22(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 itu melibatkan kompaun keseluruhan bernilai RM266,875.
Menurutnya, notis paling banyak dikeluarkan di daerah Dungun melibatkan 507 notis diikuti Marang (407), Kemaman (320), Hulu Terengganu (279), Setiu (164), Kuala Terengganu (129), Besut (98) dan Kuala Nerus (45).
“Sepanjang tempoh 12 bulan operasi diadakan, seramai 73 anggota penguatkuasa JKNT di lapan daerah telah memeriksa 33,127 premis dan mengeluarkan notis kepada individu serta premis dikesan melanggar peraturan.
“Oleh itu orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan dengan tidak merokok di kawasan larangan merokok bagi mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
“Ia juga untuk melindungi golongan bukan perokok dari bahaya asap rokok basi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Bagaimanapun Dr Kasemani berkata, notis 32b dikeluarkan JKNT pada tahun lepas dilihat menurun sebanyak 1,277 berbanding 3,226 notis bagi tahun 2020.
Katanya, notis tersebut melibatkan kompaun keseluruhan bernilai RM425,200 dengan Dungun merekodkan nilai paling tinggi iaitu RM159,950.
“Kita akan meneruskan operasi ini dari masa ke semasa bagi memastikan orang ramai tidak merokok di kawasan larangan sekaligus melindungi golongan bukan perokok yang berada di lokasi berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!