Conte akui sukar kejar ‘top four’ EPL
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte mengakui agak sukar untuk skuad kendaliannya itu untuk terus mengejar kedudukan empat pasukan teratas (top four) Liga Perdana Inggeris (EPL) kali ini.
Justeru menurut Conte, mahu kesebelasan The Lilywhites itu untuk beraksi sebaik mungkin bagi memastikan slot beraksi dalam saingan Liga Europa tidak terlepas.
“Agak mustahil untuk kita mengejar kedudukan sebagai empat pasukan teratas EPL ketika ini.
“Dengan kedudukan ketika ini, bagi saya adalah lebih bagus untuk kita memberikan fokus berada pada kedudukan terbaik bagi melayakkan kita ke saingan Liga Europa musim depan,” katanya.
Untuk rekod, Spurs kini berada pada kedudukan kelapan dengan 36 mata hasil 11 kemenangan, seri tiga kali dan tewas lapan kali daripada 22 perlawanan.
Sementara itu, Conte menyifatkan falsafah yang menjadi pegangan skuad kendaliannya itu dilihat menjadi punca utama yang melemahkan skuad berkenaan selama ini.
Menurut Conte, biarpun skuad The Lillywhites membawa masuk Dejan Kulusevski dan Rodrigo Bentancur, namun jika falsafah berkenaan masih berterusan ia akan tetap ‘melemahkan’ pasukan.
“Secara keseluruhannya, saya menyifatkan visi serta falsafah pasukan ini tidak selari dengan perkembangan pasukan.
“Kesemua perkara berkenaan perlu berubah dan selari dengan peredaran zaman yang memerlukan semua perkara dilakukan dengan pantas.
“Oleh itu, untuk muncul selaku pasukan yang kompetitif dengan pantas, pasukan ini juga memerlukan pemain-pemain berpengalaman,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!