SKMM diarah berhubung dengan SRBN tangani masalah internet
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarahkan berhubung dengan Sarawak Rural Broadband Network (SRBN) bagi menangani masalah kelajuan internet.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi hantaran di Twitter memaklumkan, perkara itu susulan berita tular mengenai seorang pemuda di Sarawak yang berdepan kesukaran menjalani temu duga dalam talian disebabkan masalah berkenaan.
"Saya amat bersimpati dengan apa yang beliau harus lalui, namun kagum dengan ketabahan beliau.
"Rangkaian internet tersebut adalah di bawah seliaan Sarawak Rural Broadband Network (SRBN),” menurut hantaran itu.
Media melaporkan Frank Steward Panting Sa, 19 dari Pakan, Sarawak terpaksa mendaki Bukit Kelingkang selama dua jam untuk mendapatkan kelajuan internet bagi menghadiri temu duga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak secara dalam talian.
Menurut laporan berita itu, kawasan tempat tinggal pemuda tersebut di penempatan rumah panjang Rumah Suing di Teberu, Ulu Kemalih dilengkapi Wifi Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (Saluran), namun ia tidak dapat memenuhi keperluan data untuk sesi temu duga itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!