Shafie berlapang dada program ramah mesra terpaksa dibatalkan
PASIR GUDANG - Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berlapang dada apabila lawatannya ke Pasar Muafakat Sabah di sini, pada Khamis terpaksa diubah kerana pasar itu tiba-tiba ditutup.
Menurut Shafie, perkara itu bukan sesuatu yang serius selain tidak menganggapnya sebagai satu tindakan untuk mensabotaj parti.
"Tidak apalah, itu perkara biasa. Saya tidak kisah sangat politik sebegini. Semasa kita perintah Sabah semua dewan boleh pakai, sama ada pembangkang ke atau kerajaan ke, yang penting mereka bayar sewa. Saya tidak pernah halang.
"Sistem demokrasi patut ditegakkan, terserah, rakyat pilih. Jangan halang mana-mana pihak. Kalau rakyat dah tetapkan itu kehendak mereka, itu bukan kita, maka kita tiada pilihan selain menerimanya (kehendak rakyat) dengan hati terbuka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan mesra di sekitar kawasan Pasar Muafakat Sabah di sini, pada Khamis.
Difahamkan, penutupan Pasar Muafakat Sabah itu dilakukan pihak berkuasa atas alasan untuk proses sanitasi bagi mengawal penularan wabak Covid-19.
Pasar Muafakat Sabah yang terkenal dengan jualan barang basah bagi masyarakat Sabah beroperasi tujuh hari seminggu dari jam 7 pagi hingga 7 malam, setiap hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!