Peneroka Felda mampu raih pendapatan sehingga RM12,000 sebulan
KUALA LUMPUR - Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kini mampu menikmati pendapat tinggi sekitar RM12,000 sebulan sekiranya ladang tersebut diuruskan dengan baik
Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, harga semasa sawit merekodkan harga tertinggi dalam sejarah, sekali gus memberi peluang kepada peneroka menikmati pendapatan yang lebih baik.
Tambah beliau, sehingga hari ini purata pendapatan seseorang peneroka itu boleh mencecah RM7,000 hingga RM8,000 sebulan.
“Saya pergi ke Sabah ada yang dapat RM14,000 hingga RM15,00 sebulan dengan berdasarkan harga minyak sawit mentah (CPO) semasa.
"Memang ada yang dapat kurang daripada itu kerana mereka ini kadang-kadang sudah menjual kebun mereka atau ada yang telah menggadai kebun.
"Mereka tidak menguruskan tanah atau tidak peduli tetapi asasnya kalau kita jaga kebun dengan baik, hasil RM7,000 atau RM8,000 sebulan dalam tangan," katanya dalam sidang media selepas Taklimat Media Mengenai Kejayaan Felda dan Hala Tuju Felda Baharu, di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pendapatan peneroka susulan harga sawit yang tinggi ketika ini.
Program tersebut dihadiri, Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar, Timbalan Pengarah Besar Felda, Mahatzir Mustafa dan Ketua Peneroka Kebangsaan, Sulong Jamil.
Taklimat Kejayaan dan Hala Tuju Felda tersebut memaklumkan bahawa Felda akan menjadi Fortune Global 500 terbaik menerusi lima aspek kejayaan yang dicapai sepanjang tahun 2020 hingga 2021 melibatkan pemikiran pengurusan, penambahbaikan akaun, pemilikan FGV, program Wakaf dan pemerkasaan teknologi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!