Malaysia mudah melangkah ke separuh akhir BATC 2022

Aidil Sholeh - Foto BAM
Aidil Sholeh - Foto BAM
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Skuad lelaki negara kini hanya selangkah untuk mara ke pentas final selepas mengesahkan tiket ke pentas separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.

Dalam aksi kedua Kumpulan B di Pusat Konvesyen Setia City, Shah Alam sebentar tadi, Malaysia tidak menghadapi masalah besar membenam cabaran Kazakhstan 5-0.

Pada Rabu, skuad lelaki negara membuka tirai kempen kali ini dengan langkah kanan apabila menumbangkan Singapura juga dengan keputusan 5-0.

Dua kemenangan itu menyaksikan Malaysia menempah tiket separuh akhir, sekali gus layak secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas 2022 di Bangkok pada Mei ini.

Pada edisi 2020 di Filipina, skuad lelaki negara berjaya mara sehingga ke final sebelum tewas di tangan Indonesia 1-3.

Dalam pertemuan menentang Kazakhstan, Malaysia yang menurunkan barisan kedua memperoleh mata pertama menerusi Aidil Sholeh Ali Sadikin yang menewaskan Artur Niyazov 21-11, 21-12.

Mata kedua disumbangkan perseorangan kedua, Lim Chong King yang menewaskan Khaitmurat Kulmatov 21-11, 21-11 sebelum Kok Jin Hong memberi mata ketiga menerusi kemenangan ke atas Makhsut Tajibullayev 21-8, 21-4.

Beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula melakar kemenangan ke atas Jangir Ibrayev-Ilya Lysenko 21-5, 21-5 sebelum gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei melengkapkan kemenangan pasukan dengan menundukkan Shalagin-Tajibullayev 21-8, 21-4.

Artikel Berkaitan:

Malaysia akan turun menentang Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B pada Jumaat bagi menentukan juara kumpulan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!